Khamis, 12 Mei 2022 | 11:01pm
Gambar fail - Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. - Foto BERNAMA
Gambar fail - Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. - Foto BERNAMA

Lontar peluru, petanque lulus dipertandingkan

HANOI: Jaguh lontar tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer sudah boleh menarik nafas lega dan fokus untuk merampas semula pingat emas Sukan SEA selepas acara itu dibenarkan untuk dipertandingkan pada temasya di sini.

Acara lontar tukul besi lelaki dan lontar peluru wanita dibatalkan dua minggu lalu susulan tidak cukup jumlah penyertaan, tetapi dimasukkan semula selepas mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) hari ini.

Mengikut Piagam dan Peraturan SEAGF, minimum tiga negara mesti mengambil bahagian untuk acara itu dipertandingkan.

"Pada awalnya hanya ada dua atlet Malaysia (Jackie dan Sadat Marzuqi Ajisan) serta atlet Thailand bagi acara lontar tukul besi lelaki, manakala lontar peluru wanita mendapat penyertaan seorang atlet Indonesia dan dua atlet Thailand.

"Kini ada tambahan seorang atlet lontar tukul besi Kemboja, begitu juga masing-masing seorang dari Kemboja dan Malaysia bagi acara lontar peluru," kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis SEAGF.

Jackie Wong merangkul emas dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dengan lontaran 65.9 meter (m) yang juga rekod kejohanan, tetapi hanya mampu meraih perak dalam edisi 2019 di Filipina apabila Kittipong Boonmawan dari Thailand merampas emas dengan rekod baharu kejohanan 67.56m.

Atlet kelahiran Sarawak itu juga pemenang tiga pingat gangsa Sukan SEA dari 2011 hingga 2015.

Dalam pada itu, ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil mengesahkan bahawa atlet lempar cakera wanita, Queenie Ting Kung Ni akan turut mengambil bahagian dalam acara lontar peluru.

Acara trek dan padang Sukan SEA dijadual berlangsung dari 14 hingga 19 Mei di Kompleks Sukan National, My Dinh.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata majlis itu juga bersetuju untuk membenarkan pasukan petanque Malaysia bertanding dalam dalam temasya dwitahunan itu.

"Majlis tersebut bersetuju bahawa pendaftaran atlet dan pegawai oleh MOM dilakukan mengikut Piagam dan Peraturan SEAGF," katanya.

Baru-baru ini, terdapat laporan bahawa pasukan petanque negara tidak tersenarai ke temasya di Hanoi rentetan permainan politik di peringkat pengurusan.

Ketua kontinjen negara (CDM), Datuk Nur Azmi Ahmad ketika dihubungi berkata keputusan majlis itu kemudiannya disahkan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal pada sebelah petang.

- BERNAMA

Berita Harian X