Jumaat, 6 Mei 2022 | 6:10pm
Sukan SEA Hanoi jadi penampilan terakhir Siti Rahmah (kanan).
Sukan SEA Hanoi jadi penampilan terakhir Siti Rahmah (kanan).

Siti Rahmah buru hadiah persaraan

KUALA TERENGGANU: Srikandi silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir mahu mengakhiri kariernya dalam temasya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam bermula Khamis ini dengan kilauan pingat emas.

Juara dunia sebanyak empat kali kelahiran Terengganu itu menjelaskan pentas Sukan SEA edisi ke-31 itu adalah penampilan terakhir buatnya sebelum mengumumkan persaraan.

Olahragawati Kebangsaan 2016 itu yang pernah merangkul pingat emas dalam temasya Sukan SEA di Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017 dalam Kelas Putri D dan E itu bagaimanapun sedar bukan tugas mudah buatnya untuk menghadiahkan emas buat negara biarpun berpengalaman luas di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun anak kepada bekas legenda bola sepak Terengganu dan skuad kebangsaan Singapura, Allahyarham Mohamed Nasir Jalil itu tekad untuk 'bertempur' habis-habisan bagi memastikan impiannya dan negara tercapai.

"Impian Siti untuk temasya Sukan SEA kali ini sudah tentu untuk mengekalkan pingat emas dimenangi lima tahun lalu ketika Sukan SEA edisi ke-29 di Kuala Lumpur pada 2017.

"Lagipun Sukan SEA ini adalah yang terakhir buat Siti sebelum mengumumkan persaraan, jadi sudah tentu Siti mahu akhiri dengan noktah kejayaan tertinggi buat negara selain membalas kepercayaan barisan kejurulatihan.

"Bagaimanapun Siti tahu ianya bukan tugas mudah lebih-lebih lagi pesilat negara lain juga mengidam emas, namun Siti akan gunakan pengalaman yang ada bagi memastikan impian berkenaan tercapai," katanya ketika dihubungi.

Olahragawati Terengganu 2018 itu yang berjaya merangkul empat pingat emas dalam Pencak Silat Dunia pada 2012, 2014, 2016 dan 2018 bagi Kelas E bakal beraksi dalam kategori Putri F, 70-75 kilogram (kg) berbanding sebelum ini kelas Putri E, 65-70 kg.

Ketika ditanya impiannya sekiranya hasratnya untuk bersara menjadi kenyataan, Siti Rahmah berkata, dia berazam untuk membawa pesilat negara beraksi dalam pentas Sukan Olimpik satu hari nanti.

"Inilah hasrat saya yang belum dicapai, jika bersara nanti, saya mahu bawa pesilat negara ke pentas sukan tertinggi itu jika dipertandingkan," katanya yang bakal berlepas ke Hanoi Ahad ini.

Berita Harian X