Rabu, 4 Mei 2022 | 3:31pm
Aiman mahu raih emas dalam acara lebuh raya di Sukan SEA Hanoi.
Aiman mahu raih emas dalam acara lebuh raya di Sukan SEA Hanoi.

Aiman tekad tebus kecewa 2017

KUALA TERENGGANU: Pelumba berbasikal negara, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff, tekad mahu menghadiahkan pingat emas buat negara pada pentas Sukan SEA Hanoi, Vietnam yang membuka tirainya 12 Mei ini.

Impian atlet berusia 25 tahun kelahiran Setiu itu adalah bagi mengubat duka selepas penampilan pertamanya pada temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur hanya berjaya merangkul pingat perak.

Pelumba kelab Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) itu yang beraksi dalam dua acara iaitu kriterium dan lebuh raya dijangka berlepas ke Hanoi pada 17 Mei ini.

"Sasaran saya dalam acara lebuh raya sudah tentu untuk memburu pingat emas buat negara selepas penampilan pertama dalam acara trek individu pada 2017 berakhir dengan kekecewaan apabila hanya meraih perak walaupun acara berkumpulan kami menang emas.

"Manakala dalam acara kriterium, strategi kami adalah untuk membantu rakan sepasukan, Mohd Harrif Saleh mendapatkan emas.

"Saya meletakkan harapan tinggi agar impian dan strategi yang diatur barisan jurulatih membuahkan hasil yang disasarkan untuk menghadiahkan emas buat negara lebih-lebih lagi masih dalam suasana sambutan Aidilfitri," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, anak sulung daripada lima adik-beradik itu yang pernah mencipta sensasi muncul pelumba kebangsaan pertama bergelar Raja Bukit dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 selepas negara menanti selama 24 tahun bermula edisi pertama 1996 bagaimanapun akui cabaran sengit bakal menantinya dan rakan sepasukan.

"Sudah pasti negara yang menyertai temasya Sukan SEA itu turut menyasarkan podium emas, bagaimanapun saya percaya dengan taktikal dan strategi barisan jurulatih, kami mampu memberikan keceriaan buat negara.

"Doa dan sokongan padu daripada seluruh peminat setia juga turut dipohon bagi memastikan impian tercapai," katanya yang pernah merangkul Jersi Merah dalam Tour of Peninsular edisi pertama pada Oktober 2019.

Berita Harian X