Sabtu, 30 April 2022 | 2:35pm
Timbalan Ketua Pengarah MSN (Strategik), Suhardi Alias (lima kanan) bersama wakil F&N dan SAM mengunjungi seorang bekas atlet negara di Lembah Klang, hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah MSN (Strategik), Suhardi Alias (lima kanan) bersama wakil F&N dan SAM mengunjungi seorang bekas atlet negara di Lembah Klang, hari ini.

MSN, F&N, SAM ceriakan atlet negara

KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan hari-hari terakhir menjelang Aidilfitri, Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM) meluangkan masa menyantuni atlet dan bekas atlet negara di sekitar Lembah Klang.

Program yang turut membabitkan penyertaan atlet yang masih aktif mengunjungi atlet 'senior' mereka itu dilihat sebagai satu usaha mengeratkan lagi hubungan silaturrahim yang sudah lama terjalin.

"MSN bersama SAM dan 100PLUS termasuk F&N mengunjungi beberapa kediaman altet kita selain bekas atlet kita yang sudah lama menceburkan diri dalam sukan dan sekarang ini sudah bersara," kata Timbalan Ketua Pengarah MSN (Strategik), Suhardi Alias.

"Tujuannya adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim, mengunjungi mereka, bertanya khabar, khasnya kesihatan, kebajikan mereka dan kami sudah menyantuni beberapa buah rumah.

"Harap sinergi antara MSN, pihak swasta seperti F&N dan 100PLUS dan juga SAM akan dapat digerakkan untuk menggambarkan kepada masyarakat bahawa kita mengambilberat mengenai kebajikan dan juga masa depan atlet kita dan juga bekas atlet supaya mereka menerima pengiktirafan dan juga masa depan lebih terjamin."

Sementara itu, Pengarah Perhubungan Kerajaan Industri dan Hal Ehwal Halal F&N Holding Berhad, Datuk Raffiq MD Ariff turut merakamkan penghargaan pihaknya bekas-bekas atlet yang pernah menabur jasa kepada negara.

"Kami bersama MSN membawa atlet yang masih bergiat aktif berjumpa dengan senior mereka. Ini secara tidak langsung dapat memupuk nilai murni, menyantuni senior mereka dan belajar apa yang boleh dipelajari daripada mereka.

"Kami berterima kasih kepada MSN dan juga SAM kerana dapat merealisasikan program bersama ini bersama-sama bekas atlet dan juga atlet terkini," katanya.

F&N diwakili Pengerusi, Tengku Syarif Bendahara Perlis Syed Badarudin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raffiq manakala MSN diwakili Suhardi dan SAM diwakili Izahar Atan, Wan Norbazly Azmi, Zuriati Zulmi dan Azhari Mohd Yusop

Antara bekas atlet yang terbabit dalam program kali ini adalah Mohd Raduan Ameari (olahraga para), Aidil Haris (golf), Zolkifli Ahmad (bolasepak), Mohd Sharrulhaizy Abd Rahman (olahraga), Norsham Yoon (olahraga), Rosman Alwi (berbasikal Trek), Rozita Latip, Zakri Ibrahim (Silat), Halimah Hassan (boling padang para) dan Nurul Shakina Abdullah (renang para)

Atlet negara yang bersama-sama menjayakan program ini adalah Mohamad Ridzuan Mohd Puzi dan Mohamad Zikri Zakaria (para olahraga), Tan Cheong Min (wushu), R Sharmendran (karate), Ahmad Safwan Ahmad Nazeri (berbasikal trek), Siti Rahmah Mohamed Nasir dan Luqman Laji (silat), Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji (boling padang).

Berita Harian X