Sabtu, 23 April 2022 | 5:31pm
Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Noza Zakaria (berdiri, tengah) bersama atlet memperagakan pakaian rasmi kontijen Malaysia 2022 selepas pelancarannya di Wisma MOM, Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazufuddin Najib (berdiri tiga dari kanan). - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Noza Zakaria (berdiri, tengah) bersama atlet memperagakan pakaian rasmi kontijen Malaysia 2022 selepas pelancarannya di Wisma MOM, Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazufuddin Najib (berdiri tiga dari kanan). - Foto NSTP/Owee Ah Chun.

Pakaian rasmi kontinjen Malaysia tampil dengan rekaan baharu

KUALA LUMPUR: Kontinjen negara yang beraksi di Sukan SEA Hanoi di Vietnam bulan depan akan menggayakan rekabentuk pakaian rasmi baharu namun dengan elemen atau corak belang Harimau yang masih dikekalkan sebagai simbolik ketangkasan dan kekuatan 'Pak Belang'.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata rekaan baharu pakaian rasmi itu akan turut digunakan oleh kontinjen negara ke Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai hingga 8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10 hingga 25 September).

"Kita beranggapan dengan cabaran dihadapi pada masa depan dan juga selepas mengharungi pandemik COVID-19, pakaian baharu ini diharap memberi semangat kepada atlet untuk mewakili negara.

"Pilihan belang Harimau kerana kita sedia maklum haiwan berkenaan sinonim dengan negara kita dan berharap atlet tampil lebih garang dan hebat kelak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain daripada tiga temasya utama berkenaan, wakil negara ke sukan Perpaduan Islam Kali Ke-5 di Konya, Turki dan sukan Asia Remaja Kali Ke-3 di Shantou, China akan turut memakai pakaian baharu terbabit.

Corak atau warna Belang Harimau pertama kali digunakan kontinjen Malaysia di Sukan SEA ke-23 di Manila pada tahun 2005.

Sejak itu, elemen terbabit melalui beberapa fasa evolusi dan hari ini MOM memperkenalkan rekabentuk terkini untuk kegunaan kontinjen pada tahun ini dengan kerjasama daripada Yonex Sunrise.

Berita Harian X