Rabu, 20 April 2022 | 11:30am
Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Paul Revington.
Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Paul Revington.

Revington tinggalkan Konfederasi Hoki Malaysia

KUALA LUMPUR: Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Paul Revington mengumumkan 'perpisahan' dengan badan induk itu selepas dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan lelaki England dan Britain.

Keputusan itu menyaksikan bekas jurulatih terbaik dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) itu hanya berkhidmat dengan KHM kurang dua tahun biarpun menandatangani kontrak selama tiga tahun pada Oktober 2020.

"Saya berasa bertuah kerana diberi peluang untuk membimbing skuad lelaki England dan Britain untuk tugasan antarabangsa mereka yang seterusnya.

"Saya benar-benar gembira bekerja dengan Konfederasi Hoki Malaysia dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kerja keras, sokongan dan layanan baik mereka.

"Ini adalah peluang yang hebat untuk saya dan kini menjadi tugas pasukan kejurulatihan kami untuk mengikuti jejak langkah beberapa ketua jurulatih yang cemerlang memimpin kumpulan atlet berbakat ini.

"Ia akan menjadi pengalaman yang penuh mencabar, memerlukan kerja keras dan memberi inspirasi kepada negara menerusi prestasi yang konsisten," katanya dalam satu kenyataan.

Revington sememangnya tidak asing di England apabila pernah menyandang tugas selaku Ketua Jurulatih Program Pembangunan Elit Skuad Wanita Britain sebelum menjadi penolong jurulatih skuad senior wanita England dan Britain.

Ujian sulung buat Revington selaku jurulatih England dan Britain adalah bagi mempersiapkan pasukan menghadapi Sukan Komanwel Birmingham pada Julai depan dan Piala Dunia.

Revington mempunyai pengalaman cukup luas dalam bidang kejurulatihan dan pernah membimbing Afrika Selatan serta Ireland sebelum dilantik selaku ketua jurulatih skuad senior negara namun berundur pada 2014 berikutan masalah kesihatan.

Berita Harian X