Jumaat, 8 April 2022 | 9:44pm
Penembak negara, Alia Sazana Azahari (kiri) bersama adiknya, Azrin Sallehin. Foto Ihsan Alia Sazana Azahari
Penembak negara, Alia Sazana Azahari (kiri) bersama adiknya, Azrin Sallehin. Foto Ihsan Alia Sazana Azahari

Sasa buru emas di negara kelahiran ibu bapanya

KUALA TERENGGANU: Beraksi di bumi Vietnam pada pentas Sukan SEA 2021 edisi ke-31 bermula 12 hingga 23 Mei ini adalah detik yang dinanti-nantikan buat penembak kebangsaan, Alia Sazana Azahari.

Selain edisi itu sama dengan usianya 31 tahun, gadis kelahiran Terengganu itu yang lebih mesra dipanggil 'Sasa' adalah atlet berdarah Vietnam kerana ibu bapanya berasal dari negara berkenaan.

Justeru Alia Sazana yang kini turut bergelar ahli perniagaan selepas membuka sebuah restoran berasaskan makanan Vietnam di Kuala Nerus, mahu melakar kejayaan di bumi kelahiran ibu bapanya itu dengan merangkul pingat emas.

"Selepas lebih setahun menunggu untuk beraksi di bumi kelahiran ibu bapa kerana sebelum ini ditangguhkan berikutan wabak pandemik COVID-19, saya bagaikan tidak sabar lagi untuk turun beraksi.

"Saya satu-satunya atlet Malaysia berdarah Vietnam, jadi sudah tentu saya mahu buktikan mampu merangkul pingat emas buat negara kerana bendera Malaysia tetap di dada saya lagipun saya dilahirkan di bumi bertuah ini.

"Saya meletakkan impian yang tinggi mampu mengulangi pencapaian dalam edisi terdahulu pada sukan terbesar Asia Tenggara ini sekali gus bakal menjadi sejarah terindah buat saya dan keluarga yang menetap di Terengganu," katanya ketika dihubungi.

Pada temasya Sukan SEA terdahulu, Alia Sazana yang bakal beraksi dalam acara kegemarannya, sport pistol 25 meter meraih emas pada pentas Sukan SEA Singapura 2015 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Alia Sazana yang memulakan kariernya pada pentas Sukan Malaysia (Sukma) 2008 dengan merangkul pingat emas buat Terengganu juga berjaya menghadiahkan pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dalam acara kegemarannya itu.

Bagaimanapun gadis yang fasih bertutur dalam bahasa Vietnam itu akui cabaran pada temasya di Vietnam nanti berliku kerana pesaingnya terdiri daripada atlet terbaik rantau Asia.

Berita Harian X