Selasa, 5 April 2022 | 5:58pm
Gambar fail - Jurulatih renang negara, Christoper Martin.
Gambar fail - Jurulatih renang negara, Christoper Martin.

Skuad renang negara harap meningkat di Vietnam

KUALA LUMPUR: Jurulatih renang negara, Christoper Martin meletak sepenuh kepercayaan anak buahnya mampu menjelmakan lebih banyak kilauan pingat emas di Sukan SEA Hanoi di Vietnam, pada Mei ini berbanding temasya 2019 di Filipina.

Keyakinan itu dizahirkannya selepas barisan yang dianggarkan seramai 18 orang itu bakal memberi ruang buat atlet muda menyerlahkan kemampuan mereka di Pusat Akuastik My Dinh, Hanoi nanti.

"Temasya Sukan SEA ini amat penting kerana dua perkara. Yang pertamanya, ia satu temasya berprofil tinggi antara rantau. Keduanya, kami berada dalam fasa peralihan di mana atlet muda mula keluar dan ini peluang buat mereka mempamerkan bakat di Sukan SEA. Ia sesuatu yang penting.

"Mengenai potensi itu, kita perlu ke sana dan bergaul. Salah satu mengenai pandemik, kita tak tahu apa yang pihak lawan buat, yang kita dengar hanyalah ura-ura. Ada sesetengah itu (ura-ura), kami fikir banyak membantu dan ada sebaliknya tidak begitu.

"Sasaran buat kami, lebih daripada apa didapati sebelum ini dan itu adalah sasaran terendah kami. Saya tak boleh kata ia 100 peratus boleh berlaku sebegitu, tetapi saya tahu skuad ini mampu berenang lebih baik berbanding edisi terakhir (Sukan SEA Filipina).

"Walaupun saya tak tahu lawan lain bagaimana namun saya fikir keputusan akan menjadi positif," kata Martin dalam satu sidang media dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN), di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Pada edisi 2019, skuad renang Malaysia meraih dua emas, dua perak dan tiga gangsa sekali gus menutup kempen berkenaan di tangga ketiga keseluruhan. Singapura meraih 23 emas, 10 perak dan empat gangsa untuk muncul juara keseluruhan manakala Vietnam berada di tangga kedua, 10 emas, enam perak dan sembilan gangsa.

Pingat emas Malaysia disumbangkan Phee Jinq En dalam acara 50 meter (m) kuak dada dan 100m kuak dada wanita manakala perak diraih Welson Sim dalam acara 200m gaya bebas dan 400m gaya bebas lelaki.

Berita Harian X