Isnin, 4 April 2022 | 5:17pm
Pelumba berpengalaman negara, Mohd Harif Saleh (dua kiri) lebih dulu sampai ke garisan penamat perlumbaan Jelajah Thailand di Nakhon Phanom.
Pelumba berpengalaman negara, Mohd Harif Saleh (dua kiri) lebih dulu sampai ke garisan penamat perlumbaan Jelajah Thailand di Nakhon Phanom.

Harif menang peringkat keempat Jelajah Thailand

KUALA LUMPUR: Pelumba berpengalaman negara, Mohd Harif Saleh sekali lagi membuktikan kayuhan 'magisnya' apabila menjuarai perlumbaan peringkat keempat saingan Jelajah Thailand, hari ini.

Ini adalah kali kedua pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) merangkul gelaran selepas turut mengungguli perlumbaan peringkat ketiga, semalam.

Pada perlumbaan sejauh 176 kilometer (km) itu pengalaman nyata memihak kepada Harif yang dicabar hebat oleh pelumba pasukan lain apabila menjadi yang pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa 4 jam 03 minit 47 saat.

Tempat kedua dalam saingan dari Sakon Nakhon dan tamat di Nakhon Phanom itu menjadi milik Raymond Kreder dari pasukan Team Ukyo manakala pelumba Jerman dari Bike Aid, Lucas Carstensen ketiga.

Harif menyifatkan kejayaan hari ini cukup bermakna buat dirinya dan TSG yang berusaha keras memastikan kemenangan milik pasukan.

"Alhamdulillah, hari ini kemenangan kedua di Jelajah Thailand dan amat bermakna bagi saya.

"Saya amat berterima kasih kepada rakan pasukan yang berusaha keras selama ini dan inilah hasilnya kita dapat lihat kejayaan di sini (Jelajah Thailand).

"Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya dan juga pasukan dan teruskan menyokong kami," katanya.

Cabaran TSG akan diteruskan pada peringkat kelima yang menawarkan laluan sejauh 163km akan bermula di Nakhon Phanom dan tamat di lokasi yang sama.

Berita Harian X