Ahad, 3 April 2022 | 3:04pm
Pelumba berpengalaman negara yang mewakili TSG, Mohd Hariff Saleh pertama tiba di garisan penamat peringkat ketiga Jelajah Thailand di Sakoon Nakhon, Thailand. - Foto ihsan TSG.
Pelumba berpengalaman negara yang mewakili TSG, Mohd Hariff Saleh pertama tiba di garisan penamat peringkat ketiga Jelajah Thailand di Sakoon Nakhon, Thailand. - Foto ihsan TSG.

Harif menang peringkat ketiga Jelajah Thailand

KUALA LUMPUR: Pelumba berpengalaman negara, Mohd Harif Saleh menghadiahkan kejuaraan buat pasukannya, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) apabila mengungguli saingan peringkat ketiga perlumbaan Jelajah Thailand, hari ini.

Kejayaan itu berjaya menaikkan semula nama TSG sebagai pencabar utama juara keseluruhan untuk jelajah yang menawarkan enam peringkat perlumbaan itu.

Dalam perlumbaan sejauh 117 kilometer bermula dari Sakoon Nakhon dan berakhir di tempat sama itu, menyaksikan Hariff dicabar hebat pelumba Team Ukyo, Raymond Kreder sebelum berjaya melepasi garisan penamat selaku juara peringkat dengan catatan 2 jam 30 minit 45 saat.

Kreder pula terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tempat kedua dan pelumba skuad kebangsaan, Muhammad Elmi Jumari ketiga.

Bagi Harif, kejayaannya hari ini banyak dibantu oleh rakan pasukan yang bekerja keras memastikan kejayaannya milik TSG.

"Syukur Alhamdulillah, rezeki saya apabila dapat menang peringkat ketiga hari ini. Terima kasih sangat kepada rakan pasukan yang memang berusaha keras dan 100 peratus buat kerja untuk saya.

"Alhamdulillah, strategi pasukan menjadi dan rezeki saya hari ini," katanya.

Peringkat keempat esok menawarkan laluan sejauh 176km akan bermula dari Sakon Nakhon dan tamat di Nakhon Phanom.

Ia dilihat sekali lagi mampu menjadi taruhan terbaik buat Harrif mengulangi pencapaian hari ini kerana menawarkan laluan landai dengan tiga zon pecut.

Berita Harian X