Jumaat, 1 April 2022 | 9:03pm
Harrif menduduki tempat kedua pada peringkat pertama Tour of Thailand hari ini.
Harrif menduduki tempat kedua pada peringkat pertama Tour of Thailand hari ini.

Amaran Harrif

KUALA LUMPUR: Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Saleh membuktikan dia pelumba yang perlu diberi perhatian apabila menduduki tangga kedua peringkat pertama Tour of Thailand di Mukdahan, hari ini.

Pelumba berusia 33 tahun itu hanya tewas pecutan di garisan penamat di tangan pelumba dari Poland, Marceli Boguslawski yang mewakili pasukan HRE Mazowsze Serce Polski manakala pelumba Belanda, Raymond Kreder dari Team UKYO di tangga ketiga.

Boguslawski menamatkan kayuhan di sekitar wilayah Mukdahan sejauh 157.3 kilometer dengan masa tiga jam 28 minit 37 saat manakala Harrif di tangga kedua jersi kuning empat saat di belakang dengan Kreder enam saat di belakang pendahulu.

Harrif, yang tidak dapat bertanding pada Tour of Thailand Disember lalu kerana positif COVID-19, juga muncul penyarung jersi ungu sebagai pelumba terbaik dari negara ASEAN.

"Syukur alhamdulillah saya dapat tempat kedua hari ini. Secara keseluruhannya, rakan sepasukan banyak membantu dalam usaha saya untuk berada di depan peloton dan mengejar kelompok pendahulu," kata Harrif ketika dihubungi.

"Bagi peringkat seterusnya saya akan cuba lagi mengekalkan prestasi ini... memang setakat ini berpuas hati kerana perlumbaan bertaraf 2.1 ini ramai juga pelumba handalan dari Eropah datang bertanding dan saya dapat pengalaman berguna berlumba dengan mereka."

Rakan sepasukan Harrif, Irwandie Lakasek di tangga ke-12, Shahrul Mat Amin (27), Metkel Eyob (44), Nur Amirul Fakhruddin Mazuki (66) dan Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (70).

Ia membolehkan TSG kini di tangga ketiga keseluruhan di belakang LX Cycling Team dari Korea Selatan dan Bike Aid, juara keseluruhan tahun lalu.

Mohd Elmi Jumari muncul pelumba terbaik pasukan kebangsaan di tangga ke-13 manakala pelumba Team Sapura Cycling (TSC) dan Sweet Nice Continental gagal mempamerkan kayuhan bertenaga pada hari pertama.

Peringkat kedua perlumbaan esok akan dilangsungkan dari wilayah Mukdahan ke Sakhon Nakhon sejauh 183.5km.

Berita Harian X