Jumaat, 1 April 2022 | 3:21pm
Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjulang Piala TNB 2022 selepas menewaskan pasukan Terengganu Hockey Team (THT) 3-2 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam tadi. FOTO BERNAMA
Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjulang Piala TNB 2022 selepas menewaskan pasukan Terengganu Hockey Team (THT) 3-2 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam tadi. FOTO BERNAMA

Semangat juara TNB

KUALA LUMPUR: Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melakukan persiapan awal dalam usaha merangkul gelaran juara Liga Hoki Malaysia (MHL) musim depan.

TNB mendapat tonik terbaik bagi memulakan cabaran musim depan selepas berjaya menamatkan kemarau kejuaraan yang dialami mereka dengan menjuarai Piala TNB, malam tadi.

Kejayaan itu hadir selepas skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin melakar kemenangan 3-2 ke atas juara liga musim ini, Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

"Untuk TNB, kami sudah capai KPI (petunjuk prestasi utama) dengan meraih satu trofi musim ini. Walaupun kami gagal muncul juara liga, namun kalau berdasarkan prestasi permainan kami sepanjang saingan liga musim ini, kami sepatutnya jadi juara.

"Kami menjaringkan lebih 70 gol dan mempamerkan prestasi yang konsisten. Namun, kami gagal bermain dengan baik di Terengganu apabila kami tewas dengan perbezaan satu gol.

"Apapun, dengan kejayaan ini (juara Piala TNB), saya percaya kami bermula dengan baik tahun depan. Ini adalah permulaan untuk TNB sebab kami sudah tunggu lama untuk merangkul gelaran juara.

"Sudah pasti kejayaan ini akan menyuntik semangat pemain untuk membuat persiapan menghadapi saingan musim depan. Kami akan buat persiapan awal, perbaiki kelemahan yang ada dan kami mahu bermula dengan baik tahun depan," kata Nur Saiful.

Aksi malam tadi menyaksikan TNB mendahului dua gol menerusi jaringan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Muhammad Shahril Saabah apabila masing-masing menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-18 dan 39.

Bagaimanapun, THT kembali bangkit apabila menyumbat dua gol jaringan padang Muhammad Marhan Mohd Jalil dan Ismail Abu masing-masing pada minit ke-49 dan ke-50 perlawanan, bagi menjadikan kedudukan 2-2.

Tidak mahu mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti, TNB merobek gol THT di saat akhir hasil jaringan padang Muhammad Amirul Hamizan Azhar pada minit ke-60, untuk mencatat kemenangan 3-2 sekali gus muncul juara Piala TNB.

Berita Harian X