Rabu, 30 March 2022 | 6:42pm
Kapten pasukan THT, Fitri Saari (dua dari kiri) dan kapten TNB, Syed Syafiq Syed Cholan (dua dari kanan) memperakan Piala TNB pada sidang media di Bukit Jalil.
Kapten pasukan THT, Fitri Saari (dua dari kiri) dan kapten TNB, Syed Syafiq Syed Cholan (dua dari kanan) memperakan Piala TNB pada sidang media di Bukit Jalil.

TNB tak rela kecewa kali ketiga kepada THT

KUALA LUMPUR: Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak mahu pentas final Piala TNB esok menjadi 'lubuk' kekecewaan buat kali ketiga berturut-turut di tangan pasukan Terengganu Hockey Team (THT).

THT sentiasa menjadi penghalang buat TNB untuk meraih gelaran musim ini apabila pasukan dari pantai timur menewaskan mereka di Piala Sumbangsih 2-3 dan ketika penentuan juara liga premier Liga Hoki Malaysia (LHM) dengan keputusan sama.

Kapten TNB, Syed Syafiq Syed Cholan berkata pasukannya pasti mahukan satu gelaran yang boleh dibanggakan dan pentas final ini adalah yang terbaik buat membuktikan kemampuan sebenar dimiliki mereka.

"Ini adalah perlawanan ketiga dengan THT. Setiap kali bertemu THT, ia adalah satu perlawanan getir. Kali pertama di Piala Sumbangsih, kemudian di penentuan kejuaraan liga dan ini kali ketiga.

"Apa yang kami sasarkan setidak-tidaknya satu piala. Jadi untuk kali ketiga, takkan kami mahu melepaskan peluang itu," kata Syed Safiq dalam satu sidang media dianjurkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), hari ini.

"Kami tak mahu dikecewakan buat kali ketiga, sudah dua kali dikecewakan dan tentunya kali ini bukan untuk kali ketiga. Harapan saya kepada pemain, saya harap mereka dapat meneruskan momentum seperti bertemu Maybank sebelum ini.

"Saya tahu perlawanan final ini bukan mudah kerana THT mempunyai pemain berpengalaman. Boleh dikatakan, secara keseluruham THT lebih baik tetapi saya tetap percaya dengan pasukan saya dan kami akan buat sehabis baik."

Sementara itu, kapten pasukan THT, Fitri Saari berharap rakan sepasukan dapat bermain dengan baik dan mengikut setiap arahan diberikan jurulatih dalam usaha pasukan untuk meraih gelaran trebel.

"Bagi saya, saya harapkan pasukan dapat mempertahankan piala. Saya tahu, bukan satu kerja mudah memandangkan TNB mempunyai barisan pemain muda dan berpengalaman dan kami harus bermain habis-habisan," katanya yang secara peribadi mengimpikan sejarah dicipta di pentas final nanti.

"Bagi saya, THT tak pernah menang trebel dari Piala Sumbangsih, liga dan Piala TNB. Sekiranya menang, tentunya ia satu sejarah buat THT," katanya.

Info

Hari ini (31 Mac)

Final

THT mln TNB - 8.30mlm

Penentuan tempat ketiga/keempat

UiTM mln Maybank - 6ptg

Berita Harian X