Rabu, 30 March 2022 | 3:57pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. - Foto NSTP/Faiz Anuar.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. - Foto NSTP/Faiz Anuar.

'Persatuan sukan perlu elak timbul spekulasi kurang enak'

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengingatkan pemimpin persatuan sukan kebangsaan supaya tidak menimbulkan spekulasi kurang baik terutama dalam pemilihan atlet ke Sukan SEA Vietnam.

Kenyataan beliau itu hadir susulan isu dibangkitkan mengenai pemilihan atlet olahraga dalam membentuk kuartet 4x100 meter (m) wanita ke temasya dwi tahunan itu di Hanoi yang dijadualkan pada Mei ini.

Katanya, beliau tidak mempunyai niat dengan urusan pemilihan atlet diputuskan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), namun mengikuti rapat isu dibangkitkan sekali gus terpanggil untuk mengingatkan pentadbir sukan terhadap tanggungjawab memilih atlet terbaik yang dimiliki bagi membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.

"Berdasarkan situasi terkini, ada empat pelari pecut wanita yang berjaya menghasilkan catatan di bawah 12 saat dalam acara 100 meter dan selayaknya dipilih untuk membentuk gandingan kuartet 4x100 meter ke Vietnam.

"Zaidatul Husniah Zulkifli mencatat 11.62 saat, diikuti Nor Sarah Adi (11.89s), Azreen Nabila Alias (11.90s) serta Fatin Ilyana Mat Nayan dengan catatan 11.97 saat. Seharusnyalah prestasi terbaik pada masa kini menjadi ukuran utama untuk pemilihan atlet ini ke Sukan SEA nanti," katanya dalam kenyataan berkenaan isu itu, hari ini.

"Saya memahami bahawa untuk penyertaan atlet di bawah kategori B ke Sukan SEA, persatuan sukan kebangsaan mempunyai kata pemutus siapa atlet yang mereka pilih. Namun kita tidak sepatutnya lari daripada prinsip pemilihan harus bersandarkan kepada merit pencapaian.

"Sekiranya persatuan sukan kebangsaan mempunyai strategi tertentu di sebalik pemilihan seseorang atlet, ianya patut diperjelaskan kepada atlet dan umum untuk mengelak daripada salah faham dan timbulnya pelbagai spekulasi tidak enak.

"Saya berharap KOM dan semua persatuan sukan kebangsaan memperhalusi semua aspek ini dan mengambil keputusan terbaik demi kejayaan kontinjen Malaysia," katanya.

Berita Harian X