Isnin, 28 March 2022 | 2:11pm
Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (kanan) mengadakan pertemuan dengan wakil Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) di pejabat YAKEB, baru-baru ini.
Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (kanan) mengadakan pertemuan dengan wakil Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) di pejabat YAKEB, baru-baru ini.

Nasib atlet sukan permotoran bakal terbela

KUALA LUMPUR: Nasib atlet sukan permotoran tanah air selepas persaraan bakal terbela apabila satu pertemuan awal antara Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) baru-baru ini, tampak membuahkan hasil positif.

Dalam pertemuan itu, YAKEB secara dasarnya bersetuju dengan cadangan menyenaraikan atlet sukan permotoran tidak kira dua roda mahupun empat roda untuk menjadi ahli yayasan berkenaan.

Begitupun memandangkan sukan permotoran bukan sukan teras, YAKEB memerlukan bantuan MAM untuk mentakrifkan senarai kejohanan yang boleh diklasifikasikan seperti sukan teras yang bermula dari Sukan SEA sehingga ke temasya Olimpik.

"Secara dasarnya, YAKEB bersetuju tetapi MAM perlu memperhalusinya (had kelayakan kejohanan). Agenda utama pertemuan ini adalah untuk melihat kemungkinan bagi mendaftarkan bekas atlet permotoran sebagai ahli YAKEB.

"Untuk itu, kami memerlukan MAM menyenaraikan apakah klasifikasi kejohanan terendah untuk dinilai sehinggalah pencapaian tertinggi (kejohanan sukan permotoran). Ia bagi membolehkan kami membuat penilaian untuk menerima atlet sukan permotoran yang bersara menjadi ahli YAKEB," kata Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abdul Manaf.

Hasrat untuk membolehkan atlet sukan permotoran menyertai YAKEB bukan satu perkara baharu. Ia mula dibangkitkan sejak 2020 yang menyaksikan yayasan berkenaan menjadi perantara bagi pertemuan antara bekas juara rali dunia, Karamjit Singh dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Malah, isu sama turut pernah dibangkitkan pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman di akhbar ini, yang mahu atlet sukan permotoran negara menerima 'layanan setimpal', sama seperti atlet lain yang menerima lebih banyak kemudahan seperti pendidikan lanjutan, insentif kewangan, jaminan kebajikan dan menikmati kemudahan latihan sains sukan.

Pada ketika itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed sudah memaklumkan hasratnya untuk duduk semeja bersama MAM bagi menilai had minimum kelayakan atlet sukan permotoran tanah air bagi menjadi ahli yayasan berkenaan dan seterusnya membantu mereka terutama selepas bersara.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MAM, Muizz Azli berbesar hati atas perjumpaan berkenaan dengan berkata: "Objektif kedua-dua pihak adalah sama iaitu memperjuangkan kebajikan pelumba negara yang bersara samada bantuan secara terus ataupun melalui program.

"Perbincangan lanjut akan diteruskan berkenaan kriteria bagi setiap permohonan dan pihak MAM berterima kasih atas kerjasama YAKEB kepada bekas pelumba negara yang mewakili negara dalam sukan permotoran."

Berita Harian X