Sabtu, 26 March 2022 | 6:17pm
Faris (kanan) yakin raih pencapaian lebih baik dalam permainan MLBB di Sukan SEA Vietnam. FOTO Ihsan Al Ikhlas Gadget
Faris (kanan) yakin raih pencapaian lebih baik dalam permainan MLBB di Sukan SEA Vietnam. FOTO Ihsan Al Ikhlas Gadget

Soloz optimis atasi pencapaian 2019

KUALA LUMPUR: Warna pingat dalam acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di Sukan SEA Vietnam, Mei ini diyakini bakal berubah.

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA Filipina 2019, Faris Zakaria yakin skuad kali ini mampu mencetuskan kilauan pingat lebih baik di Hanoi nanti walaupun sedar saingan yang bakal diterima bakal sengit dari Filipina dan Indonesia.

"Pencabar kita adalah Indonesia dan Filipina," kata Faris atau dikenali dengan nama julukan 'Soloz' itu kepada media ketika ditemui selepas majlis merasmikan kafe e-Sukan Pitstop Homebois di Petaling Jaya hari ini.

Soloz berkata, pemain Malaysia diharap dapat mencari jalan terbaik untuk merungkai strategi yang bakal dipamerkan Filipina dan Indonesia sekiranya mahu meraih kilauan pingat lebih baik.

"Kita tidak tahu strategi mereka kerana tidak pernah menunjukkan keputusan sebelum ini. Bagaimanapun, di Sukan SEA nanti pemain kita perlu mencari strategi terbaik untuk melakukan serangan balas.

"Saya yakin persiapan pasukan yang kini diurus Todak mampu membawa Malaysia untuk menjulang pingat emas di bumi Vietnam," kata Soloz.

Di Filipina 2019, pasukan e-sukan negara berjaya membawa pulang satu emas dan satu gangsa dengan emas diraih Yew Weng Kean dalam acara Heartstone.

Gangsa diraih Faris bersama rakan gandingan Ali Huzaifi Abdullah, Abdul Wandi Abdul Kadir, Jamil Nurolla, Izme Haqeem Hamsjid dan Muhammad Hazeem Onn.

Berita Harian X