Rabu, 23 March 2022 | 5:47pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melihat buku Legenda Sukan Malaysia. Turut sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kanan), Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker (kanan) pada majlis Anugerah Sukan Negara Tahun 2019/2020 malam tadi. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melihat buku Legenda Sukan Malaysia. Turut sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kanan), Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker (kanan) pada majlis Anugerah Sukan Negara Tahun 2019/2020 malam tadi. - NSTP/ASWADI ALIAS.

Ahmad Faizal pertahan keputusan PJS

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertahankan keputusan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof yang meluluskan pendaftaran Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) yang didakwa mengeruhkan lagi kemelut yang melanda dalam sukan berkenaan.

Semalam, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menerusi kenyataan memohon PJS supaya membatalkan pendaftaran MSC sebagai badan sukan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, percaya keputusan PJS itu dibuat mengikut peraturan sedia ada.

"Apa yang ingin kita lakukan haruslah menitikberatkan bagaimana untuk mempopularkan, memperkasakan dan memartabatkan sukan berkenaan.

"Politik dari segi pengurusan dan sebagainya ini tidak akan menguntungkan sukan berkenaan serta perkembangannya. Jadi saya harap apa juga keputusan yang mereka hendak ambil kami bersedia menerima.

"Nasihat saya kepada diri sendiri dan juga orang ramai, apa yang juga yang kita lakukan jangan terlalu menjaga kepentingan diri tapi eloklah kita menitikberatkan kepada kumpulan sukan, para atlet kita wakili itu lebih penting.

"Selain daripada itu apa yang kami lakukan kami ikut peraturan yang sedia ada. Kita juga ada hujah-hujah mengapa kita membuat keputusan-keputusan dan saya setakat ini melihat keputusan dibuat Pesuruhjaya Sukan adalah tepat.

"Saya berharap perkara ini tidak dibawa berpanjangan marilah kita memberi fokus kepada perkembangan sukan sepak takraw itu sendiri," katanya ketika sidang media selepas Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020, malam tadi.

Ahmad Faizal, berkata beliau pernah mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil negeri sukan berkenaan sebelum ini untuk memberi pandangan serta mendengar pandangan berkenaan isu berkenaan walaupun secara tidak rasmi.

"Kalau ada kelompok ingin membuat perkara lain kita bersedia mempertahankan keputusan yang sudah dibuat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal, berkata setakat ini Malaysia masih meneruskan perancangan bagi menghantar atlet negara beraksi di Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Mei depan biarpun kes COVID-19 di negara berkenaan kembali meningkat.

"Setakat ini kita ikut apa yang dirancang namun kita sentiasa pantau keadaan di Vietnam dan turut mengikut nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan penghantaran atlet-atlet kita ke Sukan Sea Vietnam.

"Tentunya semua persatuan sukan, atlet dan kami sendiri menitik berat perkara ini, sebelum menghampiri tarikh temasya berkenaan kita akan perhalusi dan membuat keputusan untuk kebaikan semua," katanya.

Berita Harian X