Ahad, 20 March 2022 | 9:54pm

Harrif idam jersi Hijau, Kuning Tour Gateh D'Tranung

KUALA TERENGGANU: Pelumba berpengalaman Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd Hariff Saleh mengidam jersi Hijau (raja pecut) dalam Tour Gateh D'Tranung atau Jelajah Terengganu bermula 21 hingga 25 Mac ini.

Malah dia juga mengimpikan jersi Kuning buat pasukannya walaupun sedar kejohanan anjuran kerajaan Terengganu bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) begitu mencabar buat semua pelumba.

"Cabaran kejohanan ini sudah pasti sengit kerana kehadiran Team Sapura Cycling, PDRM Cycling Team dan juga pasukan kelab dari Singapura. Begitu juga tekanan tetap ada kerana sudah pasti pasukan lain akan fokus untuk menewaskan kami.

"Tapi dengan pengalaman beraksi di luar negara selain di tempat sendiri, kita akan cuba yang terbaik. Lagi pun peluang tetap ada kerana kami juga ada sasaran iaitu merangkul jersi Kuning manakala sasaran peribadi adalah jersi Hijau dan podium," katanya pada majlis memperkenalkan penaja dan pasukan yang menyertai Jelajah Terengganu di sini, hari ini.

Sementara itu, kapten Team Sapura Cycling (TSC), Akmal Hakim Zakaria mengakui teruja berlumba dalam Jelajah Terengganu.

"Kami begitu teruja berlumba dalam kejohanan ini. Dengan kekuatan yang ada dalam pasukan, sasaran kami adalah untuk memburu podium dan juga jersi kuning.

"Namun peluang masih terbuka kerana macam-macam boleh berlaku lagipun saingan daripada pasukan lain juga hebat termasuk TSG dan PDRM Cycling Team," katanya.

Bagi pelumba import TSG, Jamal Hibatullah, peluang beraksi di Terengganu adalah pengalaman pertama dan cukup gembira berlumba di Malaysia.

Jelajah Terengganu bakal disertai 26 pasukan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu terbuka dan bawah 23 tahun membabitkan 156 pelumba. Ia membabitkan lima pusingan bermula di sini.

Pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yang diketuai oleh Mohd Hariff Salleh (kanan) pada majlis memperkenalkan pasukan dan penaja 'Tour Gateh D'Tranung' di Wisma Darul Iman, Kuala Terennganu, hari ini. - Foto NSTP/Ghazali Kori.
Pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yang diketuai oleh Mohd Hariff Salleh (kanan) pada majlis memperkenalkan pasukan dan penaja 'Tour Gateh D'Tranung' di Wisma Darul Iman, Kuala Terennganu, hari ini. - Foto NSTP/Ghazali Kori.
Berita Harian X