Rabu, 16 March 2022 | 8:53pm
Pemain THT, Mohamad Firdaus Omar (kanan) melepasi halangan pemain NDT Mohamad Salman Sudirman (kiri) pada aksi Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini. THT menang 6-2. - Foto NSTP/Ghazali Kori.
Pemain THT, Mohamad Firdaus Omar (kanan) melepasi halangan pemain NDT Mohamad Salman Sudirman (kiri) pada aksi Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini. THT menang 6-2. - Foto NSTP/Ghazali Kori.

THT belasah NDT di Batu Buruk

KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Terengganu (THT) kenduri gol apabila membelasah Pasukan Pembangunan Kebangsaan (NDT) 6-2 dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), di sini, sebentar tadi.

Pesta gol skuad bimbingan Roslan Jamaluddin itu bermula pada minit ketiga melalui jaringan padang penyerang muda kebangsaan, Mohammad Akhimullah Anuar Esook hasil hantaran Muhammad Noor Firdaus Rosdi.

Lima minit berselang, pintu gol NDT bocor lagi juga melalui jaringan padang Muhammad Firdaus Omar hasil hantaran silang Muhammad Sufi Ismat MR Rohulamin.

Memasuki minit ke-23, hasil permainan satu dua dengan Faizal Saari, Muhammad Sufi Ismat berjaya menyumbat gol ketiga untuk pasukannya mendahului 3-0.

Sepanjang babak pertama, skuad pelawat kendalian Megat Azrafiq Megat Termizi memperoleh dua pukulan sudut penalti, namun gagal disudahkan dengan jaringan.

Bersambung babak kedua, Muhamad Noor Firdaus membuktikan ketajamannya di depan gawang apabila meledak jaringan keempat pasukannya juga menerusi gol padang sebelum kapten, Mohd Fitri Saari muncul penjaring gol kelima pasukannya menerusi pukulan kencang beberapa saat selepas gol keempat yang gagal dibaca penjaga gol, Noriqmal Danish Norhashimi.

Menerusi satu serangan pantas, penyerang NDT, Mohamad Shafiq Abdullah mencuri tumpuan apabila menyumbat jaringan pertama pasukannya melalui serangan balas bermula di bahagian tengah padang.

Mohamad Akhimullah kembali melebar jaringan keenam buat THT dan kedua peribadinya pada minit ke-52 melalui kuisan yang gagal dibaca penjaga gol.

Semangat melawan skuad muda negara tidak pernah luntur apabila Muhammad Salman Sudirman bijak memanfaatkan peluang terhidang untuk jaringan kedua pasukannya dua minit sebelum permainan berakhir untuk keputusan kekal 6-2 memihak kepada THT.

Dengan kemenangan itu, skuad THT kekal ditangga kedua liga di belakang pendahulu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) hasil himpunan 26 mata menerusi sepuluh perlawanan.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, THT berjaya merakam kemenangan 7-0.

Berita Harian X