Ahad, 13 March 2022 | 7:18pm
Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), On Jabbar @ Ja'afar (dua kiri) pada majlis pra-pelancaran dan sidang media sempena penganjuran Johor JOHOR E-Sports Festival 2022di Hotel Trove, Johor Bahru.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), On Jabbar @ Ja'afar (dua kiri) pada majlis pra-pelancaran dan sidang media sempena penganjuran Johor JOHOR E-Sports Festival 2022di Hotel Trove, Johor Bahru.

7,500 dijangka sertai Festival Esukan Johor (JEF22)

KUALA LUMPUR: Kerancakan e-sukan terus menunjukkan perkembangan yang luar biasa apabila Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) melalui anak syarikatnya, Sports Johor Sdn Bhd (SJSB) tampil menganjurkan kejohanan terbesar eSukan di negeri Johor iaitu Festival Esukan Johor (JEF22).

Kejohanan dijadual membuka tirainya dengan peringkat pertama secara atas talian pada 22 Mac ini, menawarkan hadiah terkumpul RM86,000 yang membabitkan tiga jenis permainan popular iaitu FIFA22, Mobile Legends Bang Bang (MLBB) dan PlayerUnknowns Battlegrounds (PUBG) Mobile.

Seramai 7,500 peserta termasuk pasukan jemputan yang mempunyai nama besar dalam industri e-sukan tanah air dijangka menyertai JEF kali ini yang secara tidak langsung bakal memperkembangkan lagi sukan baharu itu di Malaysia.

Pengurus Besar SJSB, Mohd Johari Tarmizi berkata, penganjuran JEF22 bakal memberi peluang buat Johor untuk mempromosi dan mempersiapkan diri sebagai hab e-sukan di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Objektif utama mempromosikan e-sukan adalah untuk membangunkan platform yang kompetitif kepada semua atlet e-sukan di Johor. Festival yang julung kali diadakan ini mempunyai tiga peringkat bagi tiga permainan berbeza dan akan menjadikannya acara tahunan terbesar di negeri ini," kata Johari dalam satu kenyataan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Lukman Abu Bakar berkata, JEF22 bakal menyediakan platform kompetitif untuk pasukan dan peserta e-sukan sekali gus melahirkan sekurang-kurangnya lima pemain secara konsisten dari setiap liga untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa dalam tempoh dua tahun akan datang.

"JEF22 juga mampu memberi peluang kepada komuniti e-sukan di Johor untuk membabitkan diri dalam penganjuran acara bukan sahaja sebagai sukarelawan tetapi juga membuka peluang pekerjaan dengan sekurang-kurangnya satu pekerjaan baharu sepenuh masa dapat dicipta setiap tahun melalui penganjuran festival ini," katanya.

Peringkat pertama JEF22 bermula dengan acara kelayakan pada 22 Mac ini sebelum peringkat kedua berlangsung pada 22 Mei manakala peringkat ketiga, 22 Julai nanti, merangkumi 32 pasukan serta peserta daripada setiap peringkat bakal melayakkan diri di peringkat Grand Final pada 22 September.

Juara bagi setiap peringkat akan membawa pulang RM3,000 (FIFA22), RM1,500 (MLBB) dan RM1,500 (PUBG) Mobile, manakala hadiah terkumpul untuk Grand Final ialah RM50,000.

Juara bagi Grand Final FIFA22 akan membawa pulang RM10,000.00, manakala bagi MLBB pula RM8,000.00 dan PUBG Mobile RM8,000.00.

Berita Harian X