Isnin, 7 March 2022 | 10:43pm
Pemain NS Girls ketika meraikan kemenangan selepas menewaskan KPT-Uniten Thunderbolts, 1-0 pada aksi Liga Hoki Malaysia (LHM), di Stadium Hoki Seremban 2 petang tadi. Foto Mohd Amin Jalil.
Pemain NS Girls ketika meraikan kemenangan selepas menewaskan KPT-Uniten Thunderbolts, 1-0 pada aksi Liga Hoki Malaysia (LHM), di Stadium Hoki Seremban 2 petang tadi. Foto Mohd Amin Jalil.

Hanis julang NS Girls

SEREMBAN: Beraksi dalam hujan jelas tidak menjejaskan persembahan Negeri Sembilan (NS) Girls apabila berjaya menewaskan KPT-Uniten Thunderbolts 1-0 pada aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Seremban 2 di sini, petang tadi.

Hanis Nadiah Onn, menjadi wirawati NS Girls apabila jaringannya pada separuh masa kedua membantu meletakkan skuad berkenaan terus mendominasi carta liga dengan mengumpul 22 mata, manakala KPT-Uniten Thunderbolts masih kekal di tangga kedua dengan 19 mata.

Kapten NS Girls, Nor Adila Malek, ternyata gembira dengan keputusan positif itu hasil kerjasama rakan sepasukan yang bekerja keras dan berjuang habis-habisan bagi mengekalkan rentak kemenangan.

"Kami menerima tentangan sengit daripada pasukan lawan, namun berjaya mengimbangi kekuatan dan serangan mereka. Ketangkasan Farah Ayuni Abdullah dalam mengawal gawang berjaya menafikan beberapa percubaan merbahaya pemain lawan.

"Kami juga berpeluang mendapatkan gol kedua menerusi penalti stroke tetapi percubaan itu diselamatkan penjaga gol KPT-Uniten Thunderbolts.

"Apapun kami amat gembira dengan kemenangan ketujuh ini kerana yang penting kami meraih mata penuh sekali gus dapat kekalkan rekod tanpa kalah setakat ini," katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, Hanis ternyata gembira kerana jaringan tunggalnya itu meletakkan status pasukan terus unggul di persada liga.

"Saya puas dapat menjaringkan gol dan mahu terus melakukannya pada perlawanan berikutnya nanti," katanya.

Berita Harian X