Isnin, 7 March 2022 | 8:32pm
Pemain Maybank, Amirullah Zainol (dua kanan) diasak Pemain THT, Shello Selverius (tiga kiri) pada perlawanan Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk. STR/GHAZALI KORI
Pemain Maybank, Amirullah Zainol (dua kanan) diasak Pemain THT, Shello Selverius (tiga kiri) pada perlawanan Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk. STR/GHAZALI KORI

'Perang' 9 gol di Batu Buruk

KUALA TERENGGANU: Juara Piala Sumbangsih musim ini, Pasukan Hoki Terengganu (THT) bangkit daripada ketinggalan sebelum menumpaskan Maybank 5-4 pada aksi kelapan saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB) sebentar tadi.

Pada aksi berintensiti tinggi itu, skuad kendalian Roslan Jamaluddin terlebih dahulu memulakan asakan pada 10 minit pertama dengan kerap menekan pelawat, namun gagal menemui sentuhan jaringan.

Sebaliknya pelawat yang memperoleh pukulan sudut penalti pertama berjaya memanfaatkan peluang berkenaan hasil jaringan pakar sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-13 sekali gus melenyapkan sorakan hampir 200 penyokong tuan rumah.

Selepas jaringan itu, pelawat yang dibimbing Azrul Effendy Bistamam kian bernafsu berjaya menambah jaringan kedua juga menerusi pukulan sudut penalti Razie pada minit ke-18.

Tersentak jaringan itu, skuad THT memperkemaskan gerakan dan hasilnya berjaya merapatkan kedudukan melalui pukulan sudut penalti penyerang kebangsaan, Faizal Saari pada minit ke-26.

Bersambung suku ketiga, Razie sekali lagi membuktikan pukulan sudut penaltinya begitu berbisa apabila meledak gol ketiga pasukannya sekali gus hatrik untuk pasukannya mendahului 3-1 pada minit ke-38.

Skuad The Turtles tidak berputus asa apabila sekali lagi berjaya merapatkan kedudukan 3-2 hasil pukulan sudut penalti Faizal pada minit ke-43.

Usaha berterusan tuan rumah untuk menyamakan kedudukan 3-3 akhirnya berhasil juga melalui pukulan sudut penalti pemain muda meningkat naik, Muhammad Arif Syafie Ishak pada minit ke-45.

Bagaimanapun jaringan itu tidak bertahan lama apabila pelawat memperoleh jaringan keempat menerusi gol padang Amirrullah Zainol pada minit ke-46.

Jaringan itu tidak sesekali memadam api perjuangan tuan rumah apabila Faizal berjaya meledak hatrik pada minit ke-52 menerusi jaringan padang untuk mengikat kedudukan 4-4.

Ketika aksi dilihat berakhir dengan keputusan seri, THT memperoleh penalti dan tolakan yang diambil Muhammad Arif Syafie berjaya memperdaya penjaga gol, Muhammad Aidil Md Shah pada minit ke-56 untuk pasukannya merakam kemenangan 5-4 dalam aksi dramatik itu.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Berita Harian X