Sabtu, 5 March 2022 | 8:45pm
Pasukan NS Girls sudah sedia menentang KPT-Uniten Thunderbolts di Stadium Hoki Seremban jam 2 petang Isnin ini. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil.
Pasukan NS Girls sudah sedia menentang KPT-Uniten Thunderbolts di Stadium Hoki Seremban jam 2 petang Isnin ini. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil.

NS Girls sedia kecewakan KPT-Uniten Thunderbolts

SEREMBAN: Perlawanan antara pendahulu carta Liga Hoki Malaysia (LHM), Negeri Sembilan (NS) Girls dengan pasukan di tangga kedua, KPT-Uniten Thunderbolts di Stadium Hoki Seremban di sini, petang Isnin ini diibaratkan pertemuan `buku dengan ruas'.

Ketika ini kedua-dua pasukan sudah mengumpulkan jumlah mata sama iaitu 19 dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.

Kapten NS Girls, Noraini Abdul Rashid mengakui pertembungan itu nanti bakal sengit kerana masing-masing sudah pasti akan berusaha mempertahankan kedudukan terkini dalam carta.

"Pasukan KPT-Uniten Thunderbolts sudah pasti mahu mengalahkan kami untuk memintas di kedudukan pendahulu carta. Namun kami akan berusaha keras mengekalkan rekod tanpa kalah sekali gus menyekat kemaraan pasukan lawan.

"Kelebihan beraksi di laman sendiri akan digunakan sebaiknya untuk melakar kemenangan ketujuh musim ini. Saya yakin rakan-rakan sedang memberi fokus kepada perlawanan penting itu dengan misi mendapatkan kemenangan," katanya di sini hari ini.

Noraini berkata NS Girls perlu meneruskan rentak kemenangan bagi menjamin misi menjulang kejuaraan liga musim ini dapat direalisasikan.

"Dengan berbaki tiga perlawanan lagi, kami tidak boleh kehilangan mata atau sekadar mencatatkan keputusan seri, sebaliknya perlu kekalkan kemenangan untuk memastikan impian merangkul kejuaraan liga tidak tersasar," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS), Tamil Selvan mengakui perlawanan menentang KPT-Uniten Thunderbolts itu nanti paling mencabar buat NS Girls kerana pasukan lawan itu adalah pencabar terkuat liga kali ini.

Beliau bagaimanapun yakin skuad bimbingan K Rajan itu mampu merangka strategi terbaik dan taktikal mantap untuk menafikan kemaraan pasukan lawan.

"Dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri di Seremban 2, saya berharap NS Girls mampu meneruskan rentak kemenangan pada Isnin nanti, selepas mereka menewaskan National Development Team, 3-1, semalam," katanya.

Berita Harian X