Rabu, 2 March 2022 | 3:52pm
 Acara berbasikal beramai-ramai L'Étape by Tour de France bakal diadakan di Desaru Coast, Johor pada Jun ini. - Foto ihsan RaceAsia.
Acara berbasikal beramai-ramai L'Étape by Tour de France bakal diadakan di Desaru Coast, Johor pada Jun ini. - Foto ihsan RaceAsia.

2,000 sertai L'Étape by Tour de France di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kira-kira 2,100 penunggang basikal amatur dan veteran dijangka menyertai acara L'Étape by Tour de France buat julung kalinya di negara ini, yang dijadualkan berlangsung di Desaru Coast, Johor, pada Jun ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Iskandar Investment Berhad (IIB) ketika acara Taklimat Perniagaan dan Peluang Rangkaian Johor, Malaysia-Perancis di Pavilion Perancis pada Ekspo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu, Isnin lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Khairil Anwar Ahmad berkata kerjasama dengan Tour de France akan memberi peluang kepada mereka untuk mengukuhkan kedudukan Iskandar Puteri sebagai destinasi acara berbasikal, mengimbangi antara perniagaan dan gaya hidup, serta destinasi pelaburan pilihan di rantau Asia Tenggara.

"Kami sangat teruja dan tidak sabar untuk menjayakan acara itu kerana kami sentiasa menyokong sukan berbasikal sebagai sukan pilihan. Dengan membawa masuk acara antarabangsa ini, ia akan meletakkan Johor dalam pelan hala tuju ke arah acara sukan bertaraf dunia," katanya dalam kenyataan.

IIB berkata memandangkan populariti sukan berbasikal kini dilihat semakin melonjak sejak kemunculan COVID-19 dan menjadi pilihan utama aktiviti sukan di Malaysia, IIB telah membangunkan kawasan khusus di Iskandar Puteri yang dilengkapi dengan lorong berbasikal, jalan lebih lebar dan ciri-ciri keselamatan, yang menarik minat penunggang basikal dari jauh dan dekat.

L'Étape by Tour de France ialah acara berbasikal beramai-ramai tahunan yang membolehkan penunggang basikal amatur untuk berlumba di laluan yang sama seperti peringkat Tour de France.

Siri ini sudah berkembang ke 14 negara antarabangsa seperti China, Thailand, Mexico, Brazil, serta Australia dan kini Malaysia.

- BERNAMA

Berita Harian X