Rabu, 2 March 2022 | 11:29am
Gambar fail - Ketua jurulatih berbasikal lebuh raya negara, Datuk Ng Joo Ngan.
Gambar fail - Ketua jurulatih berbasikal lebuh raya negara, Datuk Ng Joo Ngan.

'Atlet berbasikal negara usah lagi lagi berbalah'

KUALA LUMPUR: Atlet berbasikal yang akan mewakili negara pada Sukan SEA Hanoi Mei ini, diingatkan supaya berjuang demi negara bagi menyumbang emas dan tidak berbalah sesama rakan pasukan.

Ketua jurulatih berbasikal lebuh raya negara, Datuk Ng Joo Ngan berkata memandangkan para pelumba biasanya dari dua pasukan profesional iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC), beliau mengingatkan mereka supaya sentiasa mengutamakan maruah negara.

Bekas juara Sukan Asia berkata isu perbalahan itu telah dikenal pasti antara punca kegagalan pada Sukan SEA Filipina 2019

Justeru pada edisi kali, beliau yang menyasarkan satu pingat bagi setiap warna, telah mengadakan perbincangan dengan anak buahnya dan pasukan bagi mencapai satu penyelesaian.

"Dalam sukan berbasikal perlu ada kerjasama berpasukan dan strategi yang tepat adalah sangat penting. Walaupun anda kuat, salah percaturan dan perbalahan maksudnya memberi kemenangan kepada pihak lain. Mereka membuat banyak buat kesilapan sebelum ini, jadi saya harap kali ini mereka tidak akan membuat sebarang kesilapan.

"Tiada mata UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) ditawarkan untuk Sukan SEA, jadi tiada gunanya berbalah sesama rakan pasukan. Saya telah pun menjelaskan perkara ini kepada mereka jadi sekarang saya harap mereka akan bertanding demi Malaysia untuk membawa pulang emas," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, legenda berbasikal negara itu berkata sehebat mana seseorang pelumba, kerjasama berpasukan memainkan peranan penting dalam membolehkannya berada pada kedudukan sesuai untuk memecut ke arah kemenangan.

Selepas meraih 13 emas, 10 perak dan tiga gangsa dalam acara berbasikal pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, skuad kebangsaan hanya membawa pulang satu gangsa menerusi Sheikh Muhammad Taslim Shaikh Mohd Raziff dalam BMX (freestyle flat land lelaki) daripada 13 emas ditawarkan dalam sukan itu di Filipina.

Susulan itu, Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) memutuskan untuk mendapatkan semula khidmat bekas jurulatih dan atlet kebangsaan Joo Ngan, yang pernah membimbing bekas atlet Olimpik M.Kumaresan, bagi mengatur strategi kemenangan di Hanoi.

Pelumba ke Hanoi dijangka disenarai pendek April ini, iaitu selepas Jelajah Thailand pada 1-6 Apr.

Joo Ngan adalah pemenang emas Sukan Asia Bangkok 1970 dalam acara individu dan perak dalam acara berpasukan serta turut meraih emas menerusi pelbagai edisi Sukan SEA.

Beliau juga dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1970.

Dalam pada itu, pengurus pasukan Firdaus Arshad berkata tiga pelumba - Mohamed Harrif Saleh, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff dan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki – telah diluluskan untuk Kategori A (kos ditanggung sepenuhnya) oleh jawatankuasa pemilihan hari ini.

Bagaimanapun, Nur Aiman Rosli dan Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri untuk acara ujian masa individu serta tujuh pelumba basikal bukit dan tujuh pelumba wanita telah diletakkan dalam Kategori B (kos dipulangkan jika memenangi pingat).

Firdaus berharap agar atlet dalam kategori B itu akan diserap ke aategori A berdasarkan prestasi terkini mereka, kelak.

- BERNAMA

Berita Harian X