Isnin, 28 Februari 2022 | 5:08pm
Al Jufferi (kanan) terpaksa tarik diri daripada beraksi di final Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara akibat kecederaan.
Al Jufferi (kanan) terpaksa tarik diri daripada beraksi di final Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara akibat kecederaan.

Al Jufferi tekad tebus kecewa di Vietnam

KUALA LUMPUR: Jaguh silat negara, Al Jufferi Jamari meletakkan sasaran untuk membawa pulang pingat emas apabila beraksi di Sukan SEA Vietnam, Mei depan.

Juara dunia tiga kali itu berkata, dia mahu menebus kekecewaan selepas terpaksa menarik diri daripada aksi final kelas Putera F Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara di Singapura, semalam akibat kecederaan.

"Saya memohon maaf kerana tidak dapat teruskan aksi final hari ini (semalam) disebabkan kecederaan lama yang baru saja sembuh. Namun, Alhamdulillah tiada yang serius.

"Sasaran utama saya adalah di Sukan SEA dan Kejohanan Dunia. Apa pun, di sini saya dapat menguji kemampuan skil saya dan peraturan baharu yang digunakan.

"Apa yang saya boleh katakan, selepas dua tahun tidak beraksi dalam kejohanan (akibat COVID-19), ia agak mengganggu dari segi prestasi.

"Apa pun, untuk Sukan SEA nanti, saya sasarkan untuk ke final dan memenangi emas," katanya yang sebelum sudah empat kali memenangi emas Sukan SEA bermula edisi 2011 di Indonesia, Myanmar (2013), Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017).

Edisi 2019 di Filipina menyaksikan Al Jufferi tidak menyertai temasya berkenaan.

Sementara itu, skuad silat negara yang beraksi di Singapura secara keseluruhannya membawa pulang dua emas, enam perak dan empat gangsa.

Malaysia meraih dua emas menerusi kategori tunggal putri, Nur Syafiqah Hamzah dan Muhammad Khairi Adib Azhar dalam kelas Putera B.

Berita Harian X