Ahad, 27 Februari 2022 | 6:41pm
Gavin Green (tengah) merangkul kejuaraan Piala Tun Ahmad Sarji di Saujana Golf & Country Club, Shah Alam, semalam. - Foto ihsan Toha Dol
Gavin Green (tengah) merangkul kejuaraan Piala Tun Ahmad Sarji di Saujana Golf & Country Club, Shah Alam, semalam. - Foto ihsan Toha Dol

Green rangkul Piala Tun Ahmad Sarji

SHAH ALAM: Buruan gelaran kejohanan pertama Jelajah PGM 2022 berlangsung sengit di Saujana Golf & Country Club, di sini, dengan Gavin Green mengenepikan pemain berpengalaman, Danny Chia dengan satu pukulan untuk memenangi Piala Tun Ahmad Sarji.

Green yang juga pemain negara dipaksa menepis cabaran sengit Chia bagi mengelakkan playoff, meskipun membawa bekalan selesa dengan kelebihan empat pukulan pada hari kemuncak perlawanan semalam.

Sejurus selepas tee pertama, Chia melakukan birdie manakala Green menyelamatkan par. Mereka saling menyamai antara satu sama lain pada tiga lubang seterusnya sebelum Chia melakukan satu pukulan birdie di lubang 5 manakala Green bergelut dengan boogie.

Green, 28, merekodkan 71 pada hari keempat dengan jumlah keseluruhan bawah 13 manakala pencabarnya menutup saingan dengan 68.

"Ia satu pusingan yang 'roller-coaster' kerana sudah lama saya tidak berada dalam keadaan seperti itu. Terdapat banyak perkara yang berlegar di fikiran kerana semua peralatan saya adalah baharu.

"Untuk memenangi saingan di bawah tekanan dan mempercayai kelab adalah satu cabaran besar buat saya. Selepas bergelut tahun lalu, adalah sesuatu yang baik untuk menang kembali, terutama di laman sendiri," kata Green.

Chia dalam pada itu menjelaskan yang mereka gembira apabila dapat bersaing sesama sendiri.

"Kami mengenali antara satu sama lain, dari zaman remajanya lagi dan kami bergembira pada minggu ini dapat bermain bersama dalam empat hari ini," kata Chia. "Saya agak gembira dengan corak permainan minggu ini dan saya gembira untuk Green yang meraih kemenangan."

Keputusan (10 terbaik):

275 - Gavin Green 68-67-69-71

276 - Danny Chia 65-69-74-68

282 - Shariffuddin Ariffin 63-76-73-69, Kenneth de Silva 72-70-70-70

285 - Khor Kheng Hwai 69-72-73-71

286 - Kemarol Baharin 73-72-71-70

287 - Zia Izzuddeen (A) 70-76-71-70, Danial Faidz 74-72-67-74

289 - Paul San 75-73-72-69

290 - Daeng Abdul Rahman 75-73-71-71

Berita Harian X