Ahad, 27 Februari 2022 | 5:57pm
Aksi Al-Jufferi (kanan) ketika saingan separuh akhir kelas Putera F menentang Tito Hendra Septa Kurnia dari Indonesia di Singapura, semalam. - Foto ihsan PESAKA.
Aksi Al-Jufferi (kanan) ketika saingan separuh akhir kelas Putera F menentang Tito Hendra Septa Kurnia dari Indonesia di Singapura, semalam. - Foto ihsan PESAKA.

Malaysia terlepas 4 emas pencak silat di Singapura

KUALA LUMPUR: Pesilat Vietnam, Vu Duc Hung meraih pingat emas percuma selepas jaguh silat negara, Al Jufferi Jamari menarik diri daripada pentas final Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara yang berlangsung di Singapura, hari ini.

Al Jufferi yang beraksi dalam kelas Putera F itu membuat keputusan menarik diri selepas mengalami kecederaan ketika aksi separuh akhir menentang Tito Hendra Septa Kurnia dari Indonesia, semalam.

Kemenangan percuma diraih Duc Hung itu secara tidak langsung menyaksikan Jufferi terpaksa berpuas hati dengan perak namun keputusan berkenaan dilihat tepat bagi memastikan juara dunia tiga kali ini mempunyai ruang masa secukupnya sebelum temasya Sukan Sea Vietnam, Mei ini.

Sementara itu, tiga lagi perlawanan awal hari ini menyaksikan tiga lagi perak diraih Malaysia menerusi kategori Putera C, Putri C dan Putera G selepas masing-masing ditundukkan lawan dari Vietnam.

Dalam aksi final Putera C, Mohamad Hazim Amzad tewas dengan keputusan 25-33 di tangan Vu Van Kien manakala Zulaika Ramazan yang beraksi dalam kategori Putri C kecundang 13-25 di tangan Le thi Van Anh.

Jejak itu turut diikuti pesilat berpengalaman negara, Fauzi Khalid apabila tewas di tangan Nguyen Tan Sang dengan keputusan 12-36 pada edisi kelapan yang menggunakan format perlawanan baharu yang lebih terbuka.

Semalam, Malaysia meraih dua emas menerusi kategori tunggal putri, Nur Syafiqah Hamzah yang menewaskan pesilat tuan rumah, Siti Nazurah Md Yusoff dan Muhammad Khairi Adib Azhar.

Muhammad Khairi menewaskan pesilat tuan rumah, Aniq Asri Mohammad dalam kategori Putera B.

Berita Harian X