Sabtu, 26 Februari 2022 | 7:18pm
Penyerang skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari. - Foto ihsan Youtube MHL.
Penyerang skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari. - Foto ihsan Youtube MHL.

THT tak pandang rendah cabaran Nurinsafi

KUALA LUMPUR: Terengganu Hockey Team (THT) tidak akan memandang rendah kemampuan Nurinsafi Sporting dalam pertemuan antara mereka di saingan Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022, Isnin ini.

Namun begitu, penyerang berbisa THT, Faizal Saari enggan melihat pertemuan dengan Nurinsafi sebagai satu perlawanan yang mudah walaupun pasukan ingin mengekalkan rekod tanpa kalah yang diraih pada ketika ini.

"Tak boleh (pandang rendah kemampuan Nurinsafi Sporting). Mereka antara salah satu pasukan yang kuat. Sebagai pemain, kami tidak boleh ada perasaan seperti itu."

THT ketika ini sudah mengumpulkan sebanyak lapan mata selepas meraih kemenangan ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan TNB Thunderbolts, masing-masing dengan keputusan 3-2.

Mereka mencatat keputusan seri dengan Maybank (2-2) dan UiTM HA (1-1) dalam satu perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu.

"Kalau dilihat, kami masih belum kalah lagi. Jadi kami kena meneruskan momentum ini dan tak boleh kehilangan mata. Untuk perlawanan dengan Nurinsafi, kami kena melihat rakaman video perlawanan terdahulu. Kami kena menilai corak permainan," katanya.

Selepas empat perlawanan, Faizal sudah meledak enam jaringan sekali gus meletakkan namanya dalam kelompok penjaring terbanyak.

"Untuk musim ini, sasaran saya adalah meraih tiga piala. Kalau dapat anugerah lain seperti penjaring terbanyak, itu satu bonus buat saya," katanya.

Berita Harian X