Sabtu, 26 Februari 2022 | 3:42pm
Pesilat negara, Nur Syafiqah Hamzah. - Foto ihsan PESAKA.
Pesilat negara, Nur Syafiqah Hamzah. - Foto ihsan PESAKA.

Nur Syafiqah menang emas silat di Singapura

KUALA LUMPUR: Pesilat negara, Nur Syafiqah Hamzah menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara 2022 yang berlangsung di Singapura, hari ini.

Syafiqah yang pernah meraih gangsa pada Kejohanan Pencak Silat Asia 2019 menewaskan wakil tuan rumah, Siti Nazurah Md Yusoff dalam kategori jurus tunggal putri dengan mata kemenangan 9.930 berbanding 9.895 diperoleh lawannya.

Kejayaan itu menurut Syafiqah akan menjadi pembakar semangat untuknya terus berusaha lebih gigih terutama memburu kilauan pingat dalam penyertaan di Sukan SEA Vietnam, pada Mei ini.

"Ini satu permulaan selepas lama tidak mempunyai perlawanan," kata Syafiqah.

"Ini satu permulaan bagi saya. Menang kalah itu belakang kira tetapi saya hanya fikir (beraksi) untuk puaskan hati saya dan jurulatih memandangkan sudah lama tidak keluar bertanding.

"Saya hanya fikirkan untuk melakukan yang terbaik dan Alhamdulillah berhasil. Sasaran saya untuk Sukan SEA nanti, saya mahu berikan pingat."

Sementara itu dalam kategori regu putri, Malaysia yang diwakili Merrywati Manuil, Fatin Ardani Zamri dan Siti Nur Khairunnisa Hail tewas tipis di tangan tuan rumah yang diwakili Amirah Sahrin, Iffah Batrisyia Noh dan Nur Ashikin Zulkifli dengan kutipan mata 9.945.

Dalam perlawanan seterusnya, pesilat wanita negara, Nor Farah Mazlan memastikan slot ke pentas final kategori Puteri A selepas menundukkan pencabar dari Vietnam, Vang Hong Phuong dengan keputusan 59-39.

Farah dijadual bertemu Nadhrah Sahrin dari Singapura yang menewaskan Dinda Nuraidha (Indonesia) 47-41 dalam perlawanan penentuan pingat emas, esok.

Berita Harian X