Khamis, 24 Februari 2022 | 8:28pm
 Gambar fail - Srikandi silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir.
Gambar fail - Srikandi silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir.

Siti Rahmah belum puas 'bertempur'

KUALA TERENGGANU: Srikandi silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir mengakui belum puas untuk 'bertempur' dalam gelanggang walaupun sudah memperagakan bakatnya dalam lima edisi Sukan SEA sebelum ini.

Justeru, juara dunia sebanyak empat kali itu menjelaskan, setakat ini dia belum lagi memikirkan untuk bersara lebih awal dalam sukan kegemarannya itu.

Sebaliknya Olahragawati Kebangsaan 2016 itu terus bersemangat menyasarkan kilauan pingat emas dalam temasya Sukan SEA di Vietnam Mei ini selain Kejohanan Pencak Silat Dunia di Malaysia pada Julai ini.

"Setakat ini saya belum memikirkan lagi untuk bersara lebih awal dalam pentas antarabangsa walaupun sudah merangkul pelbagai warna pingat sama ada di pentas Sukan SEA dan antarabangsa.

"Terkini pada temasya Sukan SEA di Vietnam nanti, saya tekad untuk melakukan yang terbaik demi negara. Sasaran pingat emas menjadi keutamaan saya jika ada rezeki. Begitu juga dalam pentas Kejohanan Dunia Julai nanti," katanya yang beraksi dalam Kelas F berbanding Kelas E sebelum ini.

Sebelum ini Siti Rahmah pernah menyuarakan hasrat untuk bersara selepas Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, namun disebabkan minat selain impian untuk terus menabur bakti kepada negara menyebabkan niat itu terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu.

Ketika ditanya impiannya yang masih belum dicapai, pesilat berpengalaman kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, dia mahu membawa pesilat negara beraksi pada pentas Sukan Olimpik suatu hari nanti.

"Inilah impian yang belum saya capai lagi. Mungkin saya tidak sempat beraksi pada temasya itu nanti kerana sehingga kini sukan itu belum lagi dipertandingkan, tapi jika sukan ini diterima, saya mahu bawa pesilat negara beraksi pada pentas tertinggi itu," katanya.

Sepanjang kariernya, Olahragawati Terengganu 2018 itu sudah merangkul dua emas pada temasya Sukan SEA Singapura 2015 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam Kelas Putri D dan E.

Anak kepada bekas legenda bola sepak Terengganu dan skuad kebangsaan Singapura, Allahyarham Mohamed Nasir Jalil berusia 35 tahun itu juga berjaya merangkul empat pingat emas dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia bermula pada 2012, 2014, 2016 dan 2018 bagi Kelas E sekali sekali gus membuktikan dia antara pesilat paling digeruni lawan.

Berita Harian X