Khamis, 24 Februari 2022 | 7:03pm
Gambar fail - Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.
Gambar fail - Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.

Peruntukan RM240 juta ceriakan semula arena sukan negara

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyambut baik keputusan kerajaan yang bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM240 juta bagi tempoh tiga tahun bagi membolehkan Program Podium dihidupkan semula.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata keputusan itu hadir tepat pada masanya ketika kontinjen Malaysia akan bertanding dalam tiga temasya utama tahun ini bermula Sukan SEA Hanoi (12 hingga 23 Mei), diikuti Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai hingga 8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10 hingga 25 September).

"Pertama sekali ini bagi pihak warga sukan, sudah pasti ini adalah satu berita yang menggembirakan. Sebelum ini pun kami (MOM) antara salah satu pihak yang memohon KBS (Kementerian Belia dan Sukan) untuk kembali kepada kerajaan bagi menuntut Program Podium dikembalikan.

"Keputusan ini sudah pasti akan menceriakan arena sukan terutama apabila kita akan berdepan sukan-sukan besar tahun ini.

"Saya juga seboleh-bolehnya berharap dengan keputusan ini atlet yang diketepikan sebelum ini dapat diberikan peluang sekali lagi untuk mereka memperbaiki prestasi dan membuktikan kebolehan mereka," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, semalam mengumumkan Kabinet bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM240 juta bermula pada tahun ini sehingga 2025, dengan perbelanjaan RM60 juta setahun bagi Program Podium dihidupkan semula.

Katanya, susulan keputusan itu, kementeriannya akan mengkaji semula penyertaan atlet yang sebelum ini ditamatkan kontrak.

Sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) menetapkan pencapaian di peringkat kejohanan tertinggi sejak 2019 sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan kendalian MSN itu bermula 2022.

Penetapan syarat lebih ketat itu adalah langkah diperkenalkan semula MSN selepas berdepan realiti tiadanya peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium yang berakhir sebaik tamat temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ia menyaksikan hanya 288 atlet yang benar-benar layak dikekalkan bagi mengikuti program latihan sepenuh masa menjelang tiga temasya utama tahun ini iaitu Sukan SEA Hanoi, Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia serta Sukan Para Asia Hangzhou.

Berita Harian X