Selasa, 22 Februari 2022 | 8:40pm
Wakil keluarga Tun Ahmad Sarji, Ariff Tuah (kanan) menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada wakil Yayasan Pusat Pengajian Al-Quran di Saujana Golf & Country Club, Shah Alam, hari ini.
Wakil keluarga Tun Ahmad Sarji, Ariff Tuah (kanan) menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada wakil Yayasan Pusat Pengajian Al-Quran di Saujana Golf & Country Club, Shah Alam, hari ini.

99 pemain sertai Pro-Am Amal Tun Ahmad Sarji

SHAH ALAM: Seramai 99 pemain termasuk 25 profesional menyertai pertandingan golf Pro-Am Amal Tun Ahmad Sarji 2022 anjuran Profesional Golf Malaysia (PGM) di Saujana Golf & Country Club, di sini, hari ini.

Penganjuran pertandingan golf amal ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid selaku pengasas merangkap pengerusi PGM yang meninggal dunia pada tahun lalu.

Kutipan sumbangan dikumpulkan menerusi penganjuran program ini didermakan kepada dua organsiasi yang dipilih oleh keluarga Allahyarham iaitu Yayasan Pusat Pengajian Al-Quran dan Tun Ahmad Sarji Research Endowment Fund (TASREF), PICOMS.

Ia disampaikan anak lelaki Allahyarham iaitu Ariff Tuah masing-masing sebanyak RM20,000 kepada dua organisasi berkenaan pada majlis makan tengahari sejurus selepas pertandingan berakhir.

Secara umumnya, program amal tahunan ini berjaya menarik sokongan14 syarikat korporat iaitu UMW, MNRB, Northport, MIDF, HeiTech Padu, Sime Darby Property, Sime Darby Plantations, Dunlop Srixon, Berjaya Sompo, Karak Garden House, IOI Corporation, SBC Corporation, Prolintas dan Press Metal Aluminium Holdings.

Selain itu, ia turut menarik sokongan daripada Dunlop Srixon yang menaja hadiah kepada lima pemenang.

Bagi saingan kali ini, UMW Toyota turut tampil menaja sebuah kenderaan baharu berupa Toyota Corolla Cross Hybrid sebagai hadiah selubang atau hole-in-one bagi lubang 17 manakala KIA Motors menaja sebuah KIA Carnival baharu bagi lubang 12.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan Presiden Saujana Golf & Country Club, Tan Sri Megat Zaharuddin Mohd Nor.

Hadiah utama pertandingan dimenangi oleh pasukan yang diperkuatkan oleh pemain profesional PGM, Low Khai Jei bersama tiga amatur iaitu Ismadi Abdul Manap, Hazreen Mubarak, Yazid Mahat.

Berita Harian X