Isnin, 21 Februari 2022 | 9:09pm
Penyerang skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari. - Foto ihsan Youtube MHL.
Penyerang skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari. - Foto ihsan Youtube MHL.

Faizal tekad tampil prestasi terbaik tahun ini

KUALA LUMPUR: Penyerang skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari bertekad untuk terus menampilkan prestasi terbaik menjelang jadual padat kalendar hoki antarabangsa tahun ini.

Antara tugas perlu dihadapi skuad 'Speedy Tigers' tahun ini adalah Piala Asia (venue belum ditentukan), Sukan Komanwel Birmingham pada Julai, Sukan Asia Hangzhou, China (September) dan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak (November).

Pemain Terengganu Hockey Team (THT) itu berkata walaupun jadual padat menjadi cabaran besar buatnya yang berusia 31 tahun, pengalaman serta kemahiran menjadi kelebihannya untuk terus memberikan mutu permainan terpuji.

"Saya rasa jadual 2022 adalah paling padat buat saya kerana kita ada banyak kejohanan. Namun, sebagai seorang pemain profesional, saya kena tahu macam mana untuk menyesuaikan diri dan tampilkan prestasi yang dimahukan.

"Secara peribadi, kalau boleh semua kejohanan saya nak main, tetapi terpulang kepada jurulatih untuk membuat pilihan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada Jumaat lalu, Faizal muncul wira THT apabila berjaya meledak dua gol ketika pasukannya menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil untuk menjuarai Piala Sumbangsih, iaitu aksi pembuka tirai Liga Hoki Malaysia (LHM) 2022.

- BERNAMA

Berita Harian X