Sabtu, 19 Februari 2022 | 3:56pm
Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) menjulang Piala Sumbangsih selepas menewaskan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada perlawanan Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia 2022 di Stadium Hoki Bukit Jalil malam tadi. - Foto BERNAMA
Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) menjulang Piala Sumbangsih selepas menewaskan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada perlawanan Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia 2022 di Stadium Hoki Bukit Jalil malam tadi. - Foto BERNAMA

Tonik terbaik THT

KUALA LUMPUR: Pasukan Hoki Terengganu (THT) semakin membara dalam misi memburu kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2022 selepas berjaya merangkul trofi Piala Sumbangsih dengan menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2, malam tadi.

Ketua jurulatih THT, Roslan Jamaluddin berkata, kemenangan itu disifatkan petanda positif buat pasukan bimbingannya sekali gus meningkatkan lagi tahap keyakinan barisan pemain untuk memenangi kejuaraan liga.

"Ia sememangnya permulaan yang bagus dan kami memperoleh tiga mata pertama. Selepas ini fokus terarah kepada saingan liga.

"Kami perlu mempamerkan aksi lebih konsisten terutamanya apabila bertemu pasukan seperti TNB dan Maybank yang nampak lebih menyerlah pada kali ini.

"Sudah pasti kami mahu memungut mata penuh pada setiap perlawanan tetapi itu semua hanya boleh dilakukan jika setiap pemain kekal fokus dan pasukan tidak mengalami sebarang masalah termasuk kecederaan," katanya.

Pada aksi malam tadi, THT membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Faizal Saari sebelum penyerang kebangsaan itu meledak gol kedua pasukan menerusi penalti stroke pada minit ke-35.

THT memastikan kedudukan lebih selesa apabila Syafie menyudahkan pukulan sudut penalti untuk meledak gol ketiga pada minit ke-40.

Biarpun TNB bangkit dengan dua gol dalam tempoh tujuh minit melalui Muhammad Najib Abu Hassan dan Faiz Helmi pada minit ke-45 serta 52, tetapi ia sudah terlambat apabila kedudukan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Berita Harian X