KUALA LUMPUR: Pasukan Hoki Terengganu (THT) memenangi Piala Sumbangsih saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini selepas menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2 pada aksi Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.
Kemenangan dalam aksi pembuka tirai itu menyaksikan THT mengutip tiga mata pertama mereka ini sekali gus menjadi permulaan positif untuk memburu gelaran liga musim ini.
Pada aksi itu, THT membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Faizal Saari sebelum penyerang kebangsaan itu meledak gol kedua pasukan menerusi penalti stroke pada minit ke-35.
Pasukan bimbingan Roslan Jamaluddin itu memastikan kedudukan lebih selesa apabila kali ini giliran Arif Syafie pula menyudahkan pukulan sudut penalti untuk meledak gol ketiga pada minit ke-40.
Biarpun TNB bangkit dengan dua gol dalam tempoh tujuh minit melalui Muhammad Najib Abu Hassan dan Faiz Helmi pada minit ke-45 serta 52, tetapi ia sudah terlambat apabila kedudukan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.