Khamis, 17 Februari 2022 | 8:32pm
Kapten pasukan TNB, Syed Syafiq Cholan (dua kanan) dan kapten TH, Faizal Saari (dua kiri) memegang Piala Sumbangsih pada sidang media di Stadium Bukit Jalil, baru-baru ini. Turut hadir jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasruddin (kanan) dan jurulatih THT, Roslan Jamauddin (kiri). - Foto BERNAMA.
Kapten pasukan TNB, Syed Syafiq Cholan (dua kanan) dan kapten TH, Faizal Saari (dua kiri) memegang Piala Sumbangsih pada sidang media di Stadium Bukit Jalil, baru-baru ini. Turut hadir jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasruddin (kanan) dan jurulatih THT, Roslan Jamauddin (kiri). - Foto BERNAMA.

Kapten TNB optimis mampu kejutkan THT

KUALA LUMPUR: Kapten Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syed Mohd Syafiq Syed Cholan optimis pasukan itu mampu mencipta kejutan apabila turun menentang Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Pemain pertahanan kebangsaan itu, berkata biarpun THT dilabel sebagai pasukan pilihan namun mereka sudah bersedia untuk menyaingi kekuatan pasukan lawan.

"Semua orang tahu THT adalah pasukan yang lengkap dan berpengalaman. Sekarang pula mereka diperkuatkan dengan tiga kapten kebangsaan iaitu Marhan (Jalil), Sukri (Mutalib) dan (Shahrun) Nabil.

"Walaupun TNB ramai pemain muda dan kurang pengalaman, tak mustahil untuk kami kalahkan THT. Memang THT pasukan pilihan tetapi atas padang apa-apa sahaja boleh berlaku.

"Kekalahan dalam aksi persahabatan baru-baru ini (TNB tewas 1-3) bagus buat kami untuk kenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki supaya ia tidak berlaku lagi pada Piala Sumbangsih nanti," katanya.

Dalam masa sama, pemain berusia 27 tahun itu menegaskan, pertemuan menentang THT amat penting kerana ia bukan saja aksi bagi merebut trofi Piala Sumbangsih tetapi ia bakal menentukan perjalanan mereka dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2022.

"Kalau kita menang lawan THT, perjalanan untuk memburu kejuaraan kedua sudah boleh nampak. Namun, kami akan bergelut sedikit untuk bangkit dalam liga kalau kami kalah kepada THT," katanya.

Berita Harian X