Sabtu, 12 Februari 2022 | 5:47pm
Roslan (kiri) dan Nor Saiful (kanan) bersama kapten pasukan masing-masing memperaga perisai Piala Sumbangsih yang menjadi rebutan pada perlawanan 18 Februari ini. - Foto ihsan Facebook MHC.
Roslan (kiri) dan Nor Saiful (kanan) bersama kapten pasukan masing-masing memperaga perisai Piala Sumbangsih yang menjadi rebutan pada perlawanan 18 Februari ini. - Foto ihsan Facebook MHC.

THT, TNB waspada selepas jadi pasukan pilihan MHL

KUALA LUMPUR: Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetap waspada dengan cabaran pasukan lain selepas kedua-duanya diletakkan sebagai pilihan mendominasi Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini susulan ketiadaan juara bertahan, UniKL.

Ketua jurulatih THT, Roslan Jamaluddin percaya pasukan bimbingannya tidak akan berdepan laluan mudah dalam misi untuk menjulang trofi kejuaraan.

"Ini adalah pertama kali saya membimbing THT dan saya nampak mereka mempunyai corak permainan tersendiri. Untuk saingan liga, bagi saya musim ini lebih seimbang.

"Walaupun tiada UniKL, Maybank pula dilihat sebagai pasukan pencabar apabila beberapa pemain UniKL berhijrah ke pasukan itu. TNB pula sentiasa memberikan saingan sengit pada setiap musim," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata barisan pemainnya sudah bersedia untuk memberikan cabaran sengit dalam saingan liga musim ini.

"Hampir kebanyakan tahun kami sering kandas di separuh akhir (Piala TNB). Kadangkala kami kalah apabila pasukan lawan menggunakan pakar pukulan sudut penalti import.

"Tapi untuk saingan kali ini, saya nampak kekuatan setiap pasukan adalah seimbang. Bagi saya, THT masih lagi pasukan yang perlu kami tewaskan. Kami perlu kurangkan melakukan kesilapan dan memanfaatkan setiap peluang untuk menjaringkan gol.

"Yang paling penting, kami mahu meraih satu atau dua piala pada musim ini," katanya.

THT akan bertemu TNB yang menggantikan UniKL untuk perebutan Piala Sumbangsih 18 Februari ini dengan dua lagi trofi menjadi rebutan iaitu kejuaraan liga dan Piala TNB.

Berita Harian X