Jumaat, 11 Februari 2022 | 9:11pm
Gambar fail - Presiden MESF, Datuk Ananth S Nathan.
Gambar fail - Presiden MESF, Datuk Ananth S Nathan.

Malaysia sasar 4 pingat eSukan di Sukan SEA Hanoi

KUALA LUMPUR: Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menyasarkan empat pingat dan mencapai kedudukan dua teratas keseluruhan dalam Sukan SEA Hanoi yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini.

Sebanyak 10 emas menjadi rebutan dalam saingan eSukan pada temasya di Vietnam itu.

Presiden MESF, Datuk Ananth S Nathan berkata pingat berkenaan dijangka diperoleh daripada permainan seperti "Mobile Legends: Bang Bang" (MLBB), "Player Unknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile" (acara berpasukan), "FIFA Online 4", dan "Arena of Valor".

"Jika boleh, kami mahu memenangi pingat dalam semua acara tetapi kami mempunyai peluang terbaik di dalam empat permainan. Permainan ini dipilih berdasarkan daya saing atlet di peringkat antarabangsa dan kami mempunyai kekuatan dari segi sejarah," katanya dalam satu sidang media maya hari ini.

Nathan mengesahkan Malaysia juga akan menyertai pertandingan PUBG Mobile (individu), Garena Free Fire, League of Legends (PC) selain kedua-dua acara berpasukan lelaki dan wanita dalam "League of Legends: Wild Rift" (mobil) tetapi tidak bertanding dalam "CrossFire".

Apabila eSukan mula dipertandingkan di Sukan SEA pada edisi 2019 di Manila, skuad negara membawa pulang satu emas menerusi Hearthstone dan satu gangsa (MLLB berpasukan).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Atlet Kebangsaan MESF, Kelvin Phang Ching Kuen berkata persekutuan itu akan menganjurkan pemilihan di peringkat kebangsaan dari 18 Februari hingga 6 Mac ini "untuk mengenal pasti individu terbaik secara saksama" bagi mewakili negara.

Pemain terpilih akan menghadiri "boot camp" selama dua bulan di Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil dan EBN Esports City di Quill City Mall selain pendedahan pertandingan dalam negara dan antarabangsa sebelum ke Hanoi.

Atlet itu juga perlu mematuhi had umur ditetapkan penganjur, iaitu berumur 18 tahun dan ke atas pada 12 Mei ini.

- BERNAMA

Berita Harian X