Khamis, 10 Februari 2022 | 6:05pm
Subahan (tengah) bersama beberapa pemain muda pada majlis penyerahan peralatan sukan program pembangunan hoki negara di ibu negara, hari ini.
Subahan (tengah) bersama beberapa pemain muda pada majlis penyerahan peralatan sukan program pembangunan hoki negara di ibu negara, hari ini.

Subahan minta pemain muda bukti kemampuan

KUALA LUMPUR: Pemain muda yang dipilih menggalas cabaran pasukan pembangunan hoki kebangsaan dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2022 diminta membuktikan kemampuan sekali gus menjadi landasan bagi mengembangkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata pemain yang tersisih atau tidak mempunyai pasukan kemungkinan turut disenaraikan bagi membentuk kombinasi antara muka lama dan baharu.

Katanya, Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas KHM, Paul Revington akan diberikan tanggungjawab untuk memilih pemain yang dilihat berpotensi untuk disenaraikan dalam pasukan berkenaan.

"Kita pentingkan kualiti daripada kuantiti iaitu mahu beri peluang kepada pemain muda untuk bermain dalam saingan kompetitif.

"Oleh sebab itu, kita letak pemain muda atau mereka yang tiada pasukan supaya dapat terus bermain. Ada beberapa pemain berkenaan berbakat sekali gus perlu diberikan peluang.

"Saya boleh katakan, mungkin sasaran pada saingan liga itu mereka kurang menyerlah, namun apa yang penting ia dapat mengembangkan bakat mereka," katanya selepas majlis penyerahan peralatan sukan program pembangunan hoki negara, di sini, hari ini.

Sebelum ini, KHM mengesahkan pasukan pembangunan hoki kebangsaan akan menggantikan UniKL beraksi dalam saingan MHL susulan juara bertahan itu gagal menghantar borang pengesahan akhir selepas tempoh masa tambahan diberikan, sekali gus tidak akan menyertai saingan musim ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai jurulatih yang bakal memimpin pasukan berkenaan, Subahan berkata, perkara itu akan diputuskan dalam masa terdekat ini.

"Kita sudah mengenal pasti jurulatih berkenaan dan akan umumkan pada minggu depan. Jika diikutkan jurulatih berkenaan turut menjaga pemain muda untuk beraksi di kejohanan Piala Dunia Remaja Hoki 2023," katanya.

Berita Harian X