Isnin, 7 Februari 2022 | 6:52pm
UniKL yang muncul juara buat kali ketiga berturut-turut musim lalu tidak bertanding pada MHL 2022.
UniKL yang muncul juara buat kali ketiga berturut-turut musim lalu tidak bertanding pada MHL 2022.

MHL 2022 tanpa juara bertahan

KUALA LUMPUR: Kegagalan pasukan UniKL untuk menghantar borang pengesahan akhir bagi menyertai saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2022 selepas tempoh masa tambahan yang diberikan menyaksikan juara bertahan dan Piala Sumbangsih itu tidak akan beraksi pada musim ini.

Perkembangan itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh selepas kata sepakat dicapai oleh jawatankuasa berkenaan.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak menjejaskan jumlah pasukan yang akan bertanding bagi musim 2022 apabila kekosongan yang ditinggalkan UniKL akan diisi pasukan pembangunan lelaki negara.

"Pasukan UnikL ingin menyertai TNB MHL 2022 tetapi mereka masih gagal untuk menghantar borang pengesahan akhir dan kami telah memberikan tempoh lanjutan sehingga 7 Februari kepada mereka tetapi kami tidak menerima sebarang maklum balas.

"Jadi kami mengambil keputusan untuk mengeluarkan UniKL daripada senarai pasukan yang bertanding bagi saingan MHL 2022 dan menggantikan tempat mereka dengan pasukan pasukan pembangunan negara.

"Pasukan ini sama seperti pasukan wanita iaitu pasukan daripada KHM dan terdapat pemain kebangsaan yang akan beraksi bersama pasukan ini. Seperti yang kami maklumkan sebelum ini kami ingin melihat potensi pemain kebangsaan untuk mereka mendapat perlawanan dan bersedia menghadapi perlawanan antarabangsa yang akan datang.

"Bagi perlawanan Sumbangsih, kami akan berbincang kembali dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat iaitu sebelum mesyuarat pengurus pasukan berlangsung kerana semua keputusan yang ingin dibuat akan melalui perbincangan bersama dan ia bukan keputusan saya seorang," kata Anil.

Berita Harian X