Jumaat, 4 Februari 2022 | 6:10pm
Gambar fail - Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh. - Foto BERNAMA.
Gambar fail - Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh. - Foto BERNAMA.

UniKL tetap bersaing MHL 2022

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengesahkan juara bertahan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) akan menyertai saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2022 yang akan membuka tirainya pada 18 Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata ia sekali gus menafikan khabar angin sebelum ini yang mengatakan UniKL tidak akan mengambil bahagian dalam saingan musim ini.

"Saya mendapat banyak panggilan mengatakan UniKL tidak bermain. Jangan dengar khabar angin kerana sekarang sudah ada bukti UniKL akan tetap beraksi (MHL 2022)," katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Beliau, berkata saingan musim ini bakal menyaksikan penyertaan tujuh pasukan dalam kategori lelaki membabitkan Pasukan Hoki Terengganu (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Nurinsafi Sporting, UniKL dan UiTM.

Katanya, bagi saingan wanita menyaksikan persaingan antara enam pasukan iaitu Sabah, KPT-Uniten Thunderbolts, Mutiara Impian MSSPP-PSHA, Negeri Sembilan Girls, Sarawak dan pasukan pembangunan kebangsaan.

"Empat pemain import dibenarkan untuk satu pasukan tetapi sekarang bukan masa sesuai mengambil import kerana perlu ikut banyak SOP (prosedur operasi standard) dengan baki dua minggu sebelum kejohanan bermula," katanya.

Anil turut menjelaskan tarikh penganjuran MHL 2022 yang bermula 18 Februari hingga Jun, dipendekkan pada hujung Mac depan kerana mahu memberi lebih masa kepada pasukan kebangsaan menjalani latihan.

"Sepatutnya berakhir Jun tetapi kita awalkan kepada penghujung Mac kerana takut bercanggah dengan kalendar FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) dan AHF (Persatuan Hoki Asia).

"Saya juga percaya ketua jurulatih skuad negara pun perlukan masa untuk pemain-pemain kebangsaan berlatih," katanya.

Saingan MHL musim ini juga bakal membabitkan lima gelanggang iaitu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Stadium Hoki MBKT Batu Buruk, Terengganu, Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang, Stadium Hoki Seremban 2 dan Stadium Hoki Majlis Perbandaran Klang.

Berita Harian X