Isnin, 31 Januari 2022 | 9:12pm
Pelumba muda Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff . - Foto NSTP/Ghazali Kori.
Pelumba muda Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff . - Foto NSTP/Ghazali Kori.

Aiman buru podium Jelajah Saudi

KUALA TERENGGANU: Pelumba muda Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff mengakui faktor cuaca dan angin bakal menjadi cabaran besar buatnya dalam siri Jelajah Saudi yang akan membuka tirainya esok.

Tambah Aiman, 25, situasi itu sukar buatnya untuk melakukan kayuhan bagi memburu podium walaupun laluan peringkat pertama sejauh 198 kilometer (km) di Winter Park itu landai.

"Saya jangkakan laluan sukar menanti kami. Ini kerana bukan semua pelumba boleh mendapatkan rentak terbaik di tambah dalam keadaan cuaca panas serta angin kuat di negara padang pasir ini.

"Jadi macam-macam boleh berlaku. Tambahan pula saingan daripada lapan pasukan jelajah profesional dan lima pasukan profesional 'berkampung' dalam kejohanan itu bakal menghangatkan lagi saingan.

"Bagaimanapun saya akan cuba lakukan sebaik mungkin untuk memburu mata buat pasukan selain mengintai podium. Lagi pun ini kali pertama berlumba di Arab Saudi dan perlumbaan tahun ini lebih mencabar buat saya dengan bantuan rakan-sepasukan," katanya ketika dihubungi.

Selain Aiman turut membawa cabaran TSG dalam kejohanan itu adalah pelumba sensasi negara, Harrif Saleh selain Mohd Shahrul Mat Amin, Muhammad Afiq Huznie Othman dan pelumba import kelahiran Belanda, Jeroen Meijers.

Selepas berakhir pusingan pertama di Winter Park, barisan pelumba seterusnya akan berentap dari Taibah ke Abu Rakah sejauh 163.9 km yang menawarkan dua zon pecutan pada Rabu.

TSG menjadi pasukan Asia tunggal bertaraf benua menyertai kejohanan berstatus 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang berlangsung selama lima hari bermula 1 Februari.

Berita Harian X