Jumaat, 28 Januari 2022 | 5:39pm
Bekas atlet yang mengikuti Kursus Kejurulatihan Sains Sukan Tahap 1 anjuran YAKEB bergambar kenangan selepas tamat kursus selama lima hari. - Foto instagram YAKEB
Bekas atlet yang mengikuti Kursus Kejurulatihan Sains Sukan Tahap 1 anjuran YAKEB bergambar kenangan selepas tamat kursus selama lima hari. - Foto instagram YAKEB

27 bekas atlet tamat kursus kejurulatihan

KUALA LUMPUR: Seramai 27 bekas atlet termasuk atlet para berjaya menamatkan Kursus Kejurulatihan Sains Sukan Tahap 1 anjuran Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang berlangsung selama lima hari sejak Isnin lalu.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, mereka seterusnya akan menyertai kursus kejurulatihan bagi Tahap 2 dan 3 dalam usaha meningkatkan lagi ilmu pengetahuan dalam bidang kejurulatihan khususnya dalam sains sukan.

"Jadi, saya berharap bekas atlet di luar sana dapat turut menyertai kursus seperti ini supaya ia boleh menjadi nilai tambah dalam bidang kejurulatihan mereka," katanya ketika ditemui selepas majlis penutup dan penyampaian sijil kepada bekas atlet menyertai kursus berkenaan di Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara, hari ini.

Sementara itu, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Rezal Zambery Yahya menyifatkan usaha YAKEB dengan menganjurkan kursus perlu dipuji kerana ia memberi banyak kelebihan kepada bekas atlet.

"Sebenarnya ini adalah satu program yang baik dianjurkan oleh YAKEB dan ia perlu diteruskan kerana memberi banyak kelebihan kepada peserta. Kami mendapat pengetahuan yang baharu dan peluang ini perlu diambil oleh bekas atlet yang lain," kata jurulatih Kelantan FC itu yang turut menyertai kursus selama lima hari berkenaan.

Kursus Kejurulatihan Sains Sukan Tahap 1 untuk bekas atlet ini adalah salah satu antara beberapa program khas di bawah Inisiatif Kerjaya dan Pendidikan Berterusan oleh YAKEB.

Kursus ini dilaksanakan dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN) dalam usaha untuk membantu bekas atlet melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan terkini khasnya dalam bidang sains sukan.

Sijil sains sukan ini penting dalam proses transformasi atlet kepada jurulatih bukan saja pada ilmunya tetapi menjadi tuntutan atau salah satu prasyarat yang perlu ada pada seseorang yang ingin menjadi jurulatih bertauliah.

Berita Harian X