Selasa, 18 Januari 2022 | 8:32pm
Nasir Basharudin (tengah) ketika beraksi bersama TFC menentang Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super musim lalu. - Foto ihsan Facebook MFL.
Nasir Basharudin (tengah) ketika beraksi bersama TFC menentang Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super musim lalu. - Foto ihsan Facebook MFL.

Nasir mahu raih pengalaman baharu bersama PJ City

KUALA LUMPUR: Pemain tengah PJ City, Nasir Basharudin mahu raih pengalaman baharu bersama pasukan yang menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya selain ingin merebut tempat utama dengan lebih kerap pada musim ini.

Bekas pemain Terengganu FC (TFC) dan Perak itu menjadi antara tujuh muka baharu yang diikat PJ City bagi musim ini selain penjaga gol, Azfa Arif Mohd Sukri, R Aroon Kumar, R Barathkumar, S Kumaahran, Marcus Mah dan Shivan Pillay Asokan.

Bagi Nasir, ia akan menjadi pengalaman berbeza apabila hanya bersaing dengan pemain tempatan untuk mendapatkan tempat dan tidak sesekali memandang rendah terhadap kemampuan rakan sepasukan yang lain.

Namun, pemain berusia 32 tahun ini percaya apa yang dipelajari selama dua musim bersama TFC sebelum ini sangat membantu untuknya menggunakan kudrat yang ada bagi membantu sasaran skuad P Maniam meraih kedudukan lima terbaik di pentas Liga Super.

"Sebab utama saya di sini (PJ City FC) kerana ingin meraih sesuatu kerana ini adalah kali pertama saya dapat merasa beraksi dengan semua pemain tempatan.

"Jika sebelum ini bersaing tempat dengan pemain import, sekarang agak berbeza sebab pemain tempatan juga tidak kurang hebatnya dan saya akan pastikan prestasi saya akan lebih baik berbanding musim lalu.

"Kalau dekat Terengganu, kami banyak fokus kepada aspek penguasaan bola, cara bermain, tetapi di PJ City saya lihat kami turut menumpukan kepada aspek fizikal sebab kita tahu pasukan akan menentang lawan yang ada pemain import.

"Jadi, sebab itu fizikal kami juga sangat penting untuk memastikan pasukan bukan sahaja kuat daripada segi corak bermain, tetapi tahap kecergasan juga memainkan peranan," katanya.

Sementara itu, Maniam pada sesi sidang media, semalam menjelaskan kehadiran pemain seperti Kumaahran dapat membantu di bahagian serangan apabila sebelum ini taruhan utama hanya diletakkan ke atas penyerang, Darren Lok.

PJ City yang tidak menggunakan pemain import pada musim lalu menamatkan Liga Super di tangga ketujuh dan kali ini mensasarkan untuk berada dalam kelompok lima terbaik.

Berita Harian X