Isnin, 17 Januari 2022 | 7:18pm
Timbalan Dekan Fakulti Sains Komputer Dan Matematik (FSKM), Nazrul Mohd Amin menjulang piala pusingan selepas FSKM menjuarai Karnival Sukan Antara Fakulti Virtual Edisi Kedua (SAFVE) 2021 di Shah Alam.
Timbalan Dekan Fakulti Sains Komputer Dan Matematik (FSKM), Nazrul Mohd Amin menjulang piala pusingan selepas FSKM menjuarai Karnival Sukan Antara Fakulti Virtual Edisi Kedua (SAFVE) 2021 di Shah Alam.

e-sukan jadi subjek pilihan kokurikulum UiTM

KUALA LUMPUR: Kerancakan e-sukan sehingga menjadi 'kegilaan' ramai ketika ini akan terus dimanfaatkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) selepas ia bakal diperkenalkan sebagai subjek pilihan kokurikulum buat pelajar.

Perkembangan itu diumumkan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi dalam ucapannya ketika merasmikan majlis penutup Karnival Sukan Antara Fakulti Virtual Edisi Kedua (SAFVE) 2021, hari ini.

"Bermula semester April hingga Ogos 2022 ini, UiTM akan mula menawarkan e-sukan sebagai pilihan kepada pelajar dalam memilih subjek kokurikulum mereka nanti.

"Ini membuktikan UiTM begitu serius dalam memastikan perkembangan e-sukan juga diteruskan dari sudut akademik. Tahniah kepada Pusat Kokurikulum dan Pusat Sukan dalam memastikan subjek e-sukan dapat ditawarkan sebagai subjek kokurikulum UiTM," katanya.

Sebagai rekod, sebanyak 15 acara dipertandingkan pada SAFVE kali ini iaitu Call of Duty (COD), Mobile Legends, PUBG, Dota, Valorant, FIFA 2021, Moto GP, Larian Virtual SAF, PES Mobile, CSGO, Timbang Bola Virtual, E-Aerodance, Chess Online, FIFA Ultimate Team dan FUT 2021.

Fakulti Sains Komputer Dan Matematik (FSKM) dinobatkan sebagai juara keseluruhan disusuli naib juara, Fakulti Sains Gunaan (FSG) manakala Pengajian Kejuruteraan Elektrik (PKE) di tempat ketiga.

Dalam perkembangan sama, Sazili turut melihat e-sukan boleh dijadikan sebagai platform yang positif dalam sinergi pihak pengurusan universiti bersama kerajaan dalam meningkatkan pencapaian e-sukan di negara ini.

Justeru, pihaknya akan terus memberi sokongan dalam merancakkan program e-sukan di UiTM sekali gus mampu membantu melonjakkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

"Ini sudah dibuktikan apabila pasukan e-sukan UiTM, Vendetta yang mewakili Malaysia awal tahun ini menjuarai Cyberathlete Collegiate Mobile Legends (CCML) edisi pertama.

"Kejohanan yang disertai pasukan dari Singapura, Filipina, Indonesia dan Thailand menyaksikan UiTM menjadi johan sekali gus memenangi wang tunai RM20,000 dan akan bertanding di Grand Final yang menawarkan hadiah wang tunai terkumpul RM1.05 juta," katanya.

Berita Harian X