Sabtu, 15 Januari 2022 | 10:06pm
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Datuk Seri Ti Lian Ker (tengah) dan Pengerusi Sungei Wang Plaza Management Corporation Ng Yin Chen (tiga,kiri) mencuba gendang tarian singa pada Majlis Pelancaran Wajah Baharu Plaza Sungei Wang dan Pertandingan Tarian Singa Tradisional Kebangsaan 2022 hari ini. - FOTO BERNAMA
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Datuk Seri Ti Lian Ker (tengah) dan Pengerusi Sungei Wang Plaza Management Corporation Ng Yin Chen (tiga,kiri) mencuba gendang tarian singa pada Majlis Pelancaran Wajah Baharu Plaza Sungei Wang dan Pertandingan Tarian Singa Tradisional Kebangsaan 2022 hari ini. - FOTO BERNAMA

KBS cadang iktiraf e-sukan, tarian singa sebagai sukan

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang mengiktiraf e-sukan dan tarian singa sebagai sukan secara rasmi di dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Timbalan Menterinya Datuk Seri Ti Lian Ker berkata bagi tujuan tersebut, pihaknya mencadangkan pindaan Akta 576 agar e-sukan dan tarian singa dapat ditadbir urus dengan lebih baik.

Menurutnya kedua-dua sukan itu tidak disebut sebagai satu kategori sukan, walaupun secara asasnya ia tergolong dalam sukan rekreasi terutama tarian singa yang mempunyai disiplin, seni dan latihannya tersendiri.

"Kelulusan pindaan ini akan diusahakan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan akta sukan ini kita pernah pinda sebanyak dua kali sebelum ini, di mana kita telah memasukkan beberapa sukan semasa pindaan pada tahun 2000 dan 2004.

"Sudah lebih 10 tahun tiada kemas kini, dan melihatkan keadaan sukan sekarang yang lebih canggih dan spesifik, pindaan adalah perlu supaya persatuan-persatuan yang ditubuhkan mencerminkan sukan-sukan yang telah diiktiraf," katanya kepada pemberita selepas melancarkan wajah baharu Sungei Wang Plaza dan pertandingan Tarian Singa Tradisional Kebangsaan di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai sukan-sukan lain selain e-sukan dan tarian singa yang berada dalam perancangan untuk diiktiraf sebagai sukan, Ti berkata perkara itu akan diumumkan kemudian.

"Kita akan serah kepada PJS untuk mengkaji pendaftaran-pendaftaran yang telah dibuat oleh sukan-sukan yang wujud dan yang diuruskan oleh persatuan, tetapi tidak disenaraikan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997," katanya.

Ketika ini terdapat 48 sukan disenaraikan dalam Akta 576 antaranya memanah, olahraga, sukan bermotor, kecergasan, paralimpik, bola sepak, hoki, badminton, sukan tradisional, berdayung, sukan air, silat, wushu, kabbadi, bola jaring dan lumba basikal.

Mengenai pertandingan Tarian Singa Tradisional Kebangsaan kali ini, sebanyak 21 pasukan dari Lembah Klang, Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, mengambil bahagian selama dua hari acara yang bermula hari ini. - BERNAMA

Berita Harian X