Sabtu, 15 Januari 2022 | 11:16am
Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff. NSTP/GHAZALI KORI
Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff. NSTP/GHAZALI KORI

Aiman tekad buru lebih banyak podium

KUALA TERENGGANU: Pelumba sensasi Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff meletakkan impian tinggi untuk melakar kejayaan lebih baik bersama skuad itu musim ini.

Aiman yang pernah memahat sejarah muncul pelumba kebangsaan pertama bergelar Raja Bukit dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 selepas 24 tahun, bagaimanapun mengakui cabaran besar menantinya untuk mengintai lebih banyak podium musim ini.

Musim lalu, pelumba berusia 25 tahun kelahiran Setiu itu mencipta kejutan apabila meraih jersi oren selaku Raja Bukit pada peringkat perlumbaan Jelajah Rwanda dengan mengungguli zon pendakian bermula dari Kigali Arena dan tamat di Rwamagana dengan jarak 115.6 kilometer.

"Alhamdulillah musim ini khidmat Aiman masih diperlukan untuk tahun kedua berturut-turut bersama TSG, namun Aiman rasakan tahun ini saingan lebih mencabar berbanding musim lalu.

"Tahun lepas hanya satu podium diraih di Jelajah Rwanda, tapi Aiman tidak dapat kekalkan jersi berkenaan kerana ramai pelumba handalan dunia menyertai kejohanan dengan laluan berbukit itu.

"Jadi tahun ini Aiman berazam untuk melakar kejayaan yang lebih bermakna dalam setiap kejohanan yang disertai termasuk Jelajah Rwanda bermula 20 Februari depan.

"Manakala perlumbaan Jelajah Eropah pula yang dijadualkan awal Februari, jika disenaraikan dan diberi peluang kedua, Aiman juga berazam untuk memburu podium biarpun sedar cabaran di jelajah itu lebih sengit berbanding jelajah Asia," katanya.

Bekas pelumba Sapura Cycling Team (TSC) itu yang pernah memenangi Jersi Merah dalam saingan edisi pertama 'Tour of Peninsular' pada Oktober 2019 ketika menyarung jersi pasukan TSC, dijangka bakal beraksi dalam perlumbaan di Arab Saudi bermula 1 Februari depan.

"Jika tiada halangan perlumbaan di Arab Saudi adalah kali pertama buat Aiman dengan laluan sedikit landai, namun cabarannya adalah angin kuat serta persaingan daripada pelumba profesional lain.

"Tapi walaupun kali pertama, Aiman tetap impikan podium dalam perlumbaan itu sekali gus mampu meningkatkan motivasi diri dan rakan sepasukan sebelum menyambung kejohanan lain," kata anak sulung daripada lima adik-beradik itu yang bercita-cita beraksi dalam pentas Sukan Olimpik satu hari nanti.

Berita Harian X