Khamis, 13 Januari 2022 | 8:10pm
Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan menentang MBPJ Boys di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebagai persediaan menjelang Piala Asia 2022 di Muscat, Oman.
Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan menentang MBPJ Boys di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebagai persediaan menjelang Piala Asia 2022 di Muscat, Oman.

Nasihin pertaruh barisan muda di Muscat

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim membuat keputusan berani apabila membariskan pemain muda bagi menghadapi Piala Asia Wanita di Muscat, Oman dari 21 hingga 28 Januari ini.

Hampir keseluruhan skuad dibarisi 20 pemain berkenaan disertai pemain berusia di bawah 23 tahun dengan lima pemain senior turut tersenarai sebagai dorongan kepada pemain muda.

Berdasarkan senarai dikeluarkan, 12 pemain dalam skuad ini bakal membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa dan bagi Nasihin, dia mahu anak buahnya menggunakan peluang itu untuk bersaing bersama pasukan terbaik di Asia.

"Secara realistik, dengan keadaan semasa dan kekangan yang kami hadapi, kami sedar di mana tahap pasukan jika dibandingkan dengan pasukan gergasi Asia lain.

"Kami terpaksa mengambil tindakan berani menyertai kejohanan ini dan berharap kejohanan ini menjadi satu pendedahan terbaik untuk mereka selain membantu membentuk satu pasukan mantap serta mempunyai kualiti bersaing di peringkat antarabangsa pada masa hadapan," kata Nasihin.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama India, Jepun dan Singapura manakala Kumpulan B disertai China, Korea, Thailand dan Indonesia.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas dalam Kumpulan A dan B bakal menempah tiket ke separuh akhir dalam kejohanan yang turut menjadi platform kelayakan bagi Kejohanan Piala Dunia Wanita 2022.

Nasihin turut menjelaskan kriteria pemilihan pemain yang dibuat berdasarkan tahap kualiti dipamerkan pemain dalam latihan serta perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Ia sangat penting bagi memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan serta tempo permainan yang pantas terutamanya di peringkat yang tinggi.

"Pemahaman daripada segi taktikal pasukan serta mempunyai kemahiran membuat keputusan di dalam padang turut diambil kira.

"Barisan jurulatih juga menilai dan memerhatikan tahap usaha ditunjukkan mereka semasa latihan dan perlawanan persahabatan selain mempunyai semangat untuk memberikan tentangan ketika perlawanan," kata Nasihin.

Senarai 20 pemain ke Muscat

1. Siti Rozailah Jilon (Penjaga gol)

2. Siti Zalia Nasir (Penjaga gol)

3. Juliani Mohamad Din (Pertahanan)

4. Raja Norsharina Raja Shabuddin (Pertahanan)

5. Nurul Faezah Shafiqah Khalim (Pertahanan)

6. Iren Hussin (Pertahanan)

7. Dayang Nuramirah Aband Mahadini (Pertahanan)

8. Nurul Fatin Fatiah Azman (Pertahanan)

9. Nuraini Abdul Rashid (Tengah)

10. Fatin Shafika Mahd Sukri (Tengah)

11. Nur Syuhada Suhaimi (Tengah)

12. Nur Asfarina Isahyifiqa Isahhidun (Tengah)

13. Nur Insyirah Effarizal (Tengah)

14. Nuramirah Shakirah Zulkifli (Penyerang)

15. Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad (Penyerang)

16. Siti Zulaikha Husain (Penyerang)

17. Siti Nur Arfah Mohd Nor (Penyerang)

18. Nur Atira Mohamad Ismail (Penyerang)

19. Nur Afiqah Syahzani Azhar (Penyerang)

20. Hanis Nadiah Onn (Penyerang)

Berita Harian X