Khamis, 13 Januari 2022 | 5:07pm
Atlet lumba basikal profesional wanita, Siti Nur Alia Mansor di KLIA sebelum berlepas ke Sepanyol untuk menyertai pasukan profesional dunia Canyon-SRAM Racing Team. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Atlet lumba basikal profesional wanita, Siti Nur Alia Mansor di KLIA sebelum berlepas ke Sepanyol untuk menyertai pasukan profesional dunia Canyon-SRAM Racing Team. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Alia optimis mampu hadapi cabaran di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Siti Nur Alia Mansor jelas teruja menyertai pasukan berbasikal jelajah dunia, Canyon-SRAM Racing Team musim ini namun sedar mengenai cabaran yang perlu ditempuhnya.

Pelumba dari Terengganu berusia 21 tahun yang berlepas ke Sepanyol malam tadi berkata, dirinya akan dinilai dalam tempoh setahun dan sekiranya lulus, akan menyertai pasukan elit kelab berkenaan.

Katanya, satu perlumbaan dijadual berlangsung pada Mac ini dan penilaian semasa terhadap lapan pelumba akan dibuat bermula pada detik itu.

"Dalam masa setahun, pasukan akan menilai daripada segi latihan.

"Alia dapat tahu ada perlumbaan Mac ini, pada masa itu, mereka akan menilai prestasi (kesemua pelumba). Dalam perlumbaan itu, mereka akan melihat keputusan dan dari situ menilai prestasi kita.

"Saya juga diberitahu, mereka akan melihat prestasi dalam tempoh masa tujuh bulan ini. Kalau bagus, daripada lapan pelumba itu, seorang akan layak ke pasukan elit. Bakinya akan teruskan kontrak sampai setahun," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pasukan berpangkalan di Sepanyol itu turut membariskan Ella Harris, Mikayla Harvey (New Zealand), Lisa Klein, Hanna Ludwiq (Britain), Katarzyna Niewiadoma (Poland), Alexis Ryan (Amerika Syarikat) dan Omer Shapira (Israel).

Mengulas mengenai sama ada memerlukan masa bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran dan rakan sepasukan baharu, Alia mengakui dirinya memerlukan ruang untuk bergandingan dengan rakan pelumba yang rata-ratanya pernah menyertai Sukan Olimpik itu.

"Bagi Alia, ambil masa juga untuk berkawan dengan mereka. Mereka pelumba profesional manakala Alia pula pelumba Terengganu. Jadi perlu mengambil masa jugalah.

"Apapun, ini peluang dan satu cabaran besar bagi Alia. Peluang ini akan digunakan sehabis baik kerana ia bukan senang untuk dapat.

"(Sasaran Alia) Olimpik (Paris 2024) kerana pelumba Canyon-SRAM Racing Team semua daripada Olimpik. Dari situ, Alia boleh berlatih dan belajar dengan mereka dalam masa setahun ini.

"Kalau ada rezeki, Alia nak ke Olimpik," katanya yang bakal diperkenalkan dalam satu majlis rasmi di Sepanyol, Sabtu ini.

Berita Harian X